Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno K Kangsar ingatkan Mastura agar patuh keputusan parti
Diterbitkan:  Aug 5, 2021 8:57 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Umno Kuala Kangsar hari ini mengingatkan ahli parlimennya, Mastura Mohd Yazid agar mematuhi keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk tidak lagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Umno Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman berkata Umno bahagian itu menyokong keputusan tersebut yang menurutnya merupakan terjemahan hasrat ahli akar umbi parti.

"Sebagai pimpinan di peringkat akar umbi, Umno Kuala Kangsar menyokong keputusan yang dibuat MT, juga pendirian Umno yang dibuat semasa perhimpunan agung dan pendirian yang telah dibuat Badan Perhubung Umno Perak.

"Suka juga diingatkan kepada semua pihak, khususnya Ahli Parlimen Kuala Kangsar, agar mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh MT sebagai punca kuasa tertinggi parti dalam ketiadaan perhimpunan agung Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 12 ahli parlimen Umno telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Mastura, yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, setakat ini belum membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Di peringkat negeri pula, Umno Perak semalam telah menyuarakan sokongan terhadap keputusan itu, yang disifatkan sebagai sejajar dengan keputusan yang dicapai dalam perhimpunan agung tahun lalu.

Dalam pada itu, Maslin menyifatkan tindakan ahli parlimen Umno yang menentang keputusan tersebut sebagai "amat mengecewakan".

"Jelas siri kegagalan kerajaan dan kemuncaknya wujud konflik perhubungan antara kerajaan dan Istana Negara....menjadi asas Umno menarik semula sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

"(Maka) tindakan mereka yang tidak menghormati serta mematuhi keputusan parti amat dikesali," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS