Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menyambut baik sokongan yang diberikan 31 ahli parlimen BN kepadanya dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga parlimen bersidang Sept ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai perdana menteri ditentukan di parlimen pada Sept dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.

“Ini adalah selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu,” kata Muhyiddin dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mendakwa seramai 31 anggota parlimen BN menyokong kerajaan PN sehingga parlimen bersidang Sept ini.

“Pendirian kami adalah ahli parlimen menjunjung kasih dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong iaitu perkenankan supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbirannya dan akan menentukan keabsahan ini di parlimen,” katanya.

Perkara itu diumumkan dalam sidang media di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata dia berharap pendirian ahli Parlimen BN itu akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku pada masa ini.

Malah, Muhyiddin juga berharap kerajaan diberi ruang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani Covid-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.

“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,” tambahnya.

Pada 4 Ogos lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu terus berdepan tekanan berhubung keabsahan jawatannya sebagai perdana menteri selepas sekurang-kurangnya 11 ahli parlimen Umno membatalkan sokongan mereka.

Sebelum itu Muhyiddin dianggap memiliki sokongan majoriti namun tipis. Ia juga tidak pernah diuji atau dibuktikan di parlimen.

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata, tidak timbul isu dia perlu meletakkan jawatan kerana masih mempunyai majoriti di parlimen.

Dia juga berjanji untuk membawa usul undi percaya pada sidang parlimen dijadual bulan depan. Pun begitu pembangkang meragui ketetapan berkenaan, antara lain berdasarkan penangguhan yang dibuat pada 2 Ogos lalu atas alasan ancaman Covid-19.