Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lantikan Faizal sebagai penasihat PM bazirkan wang rakyat'

Pemimpin pembangkang melihat pelantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas perdana menteri sebagai habuan kepadanya untuk terus menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, tiada keperluan mendesak untuk Muhyiddin melantik seorang penasihat bertaraf menteri.

“Yang boleh difikirkan hanya ini satu lagi politik beri habuan untuk pelihara sokongan kepada perdana menteri.

“Pelantikan ini tiada kena mengena dengan kepentingan rakyat yang sedang bergelut dek pandemik Covid-19, hilang kerja dan hilang pendapatan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Faizal sebagai penasihat khas PM kelmarin.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu  akan bertanggungjawab menasihati Muhyiddin dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.

Pelantikan itu dibuat selepas Muhyiddin berjanji akan membawa usul undi percaya pada sidang parlimen yang dijadualkan bulan depan, susulan tekanan terus menerus berhubung keabsahan jawatannya sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Mujahid Yusof turut mempertikaikan pelantikan tersebut dengan menyifatkannya sebagai pembaziran duit rakyat.

Mujahid yang juga ahli parlimen Parit Buntar berkata, tindakan tersebut merupakan “penyambung nyawa” Muhyiddin untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

“Saya tidak faham kenapa Muhyiddin begitu meminati memberi jawatan jawatan yang tak bermanfaat kepada seseorang.

“Adakah kerana Muhyiddin diugut dan cara mendiamkan ialah dengan memberi jawatan? Ini adalah pembaziran duit rakyat dan cara perdana menteri menyambung ‘nyawanya’ dengan cara memberi jawatan,” katanya.

Bahan jenaka, memalukan

Ketua Pemuda DAP Howard Lee pula berkata pelantikan tersebut merupakan cerminan kepada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional kerana masih memerlukan tambahan jawatan walaupun mempunyai jumlah menteri dan timbalan menteri yang banyak.

“Kenapa tidak terus dilantik menteri? Adakah kerana Muhyiddin tahu ia tidak akan diperkenankan?

“Perdana menteri bertarung nyawa politiknya hendak memberi habuan kepada timbalan presiden partinya?

“Seorang ketua kerajaan negeri yang hilang majoriti diupah menasihati perdana menteri yang diragui majoritinya semenjak pelantikannya. Bahan jenaka yang memalukan negara,” kata Adun Pasir Panji itu.

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak turut mengambil peluang menyindir pelantikan tersebut dengan membangkitkan insiden Faizal gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat di Perak dalam undian percaya pada Disember lalu, sehingga hilang jawatan sebagai menteri besar Perak.

“Baru saya faham kenapa PM8 (Muhyiddin) tiba-tiba berani buat undi percaya dalam parlimen.

“Rupanya yang hilang majoriti sudah diberi nasihat baik dari yang hilang majoriti,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya kelmarin.


Lihat Komen
ADS