mk-logo
Berita
Polis soal Anwar, Wan Azizah kes berarak ke parlimen
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 2:12 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Polis menyoal siasat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan isterinya, Ahli Parlimen Pandan Wan Azizah Wan Ismail, mengenai perhimpunan pada Isnin lalu (2 Ogos).

Ketika itu, wakil rakyat pembangkang cuba berarak ke parlimen tetapi dihalang oleh polis.

Polis menyoal siasat mereka lebih sejam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya bermula sekitar jam 11 pagi tadi.

"Kenyataan diberikan, polis beri kerjasama, Anwar dan Wan Azizah beri kerjasama.

"Kami akan tunggu. Saya rasa ahli parlimen lain juga sedang disiasat di balai polis," kata peguam Anwar Sankara Nair kepada wartawan di luar ibu pejabat PKR setelah sesi soal siasat polis itu.

Sankara berkata, semua soalan berkaitan dengan kejadian pada 2 Ogos.

Kedua-dua pimpinan PKR itu disiasat, antara lain bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penyalahgunaan kemudahan dan rangkaian berkaitan dengan peraturan perintah kawalan pergerakan.

Sankara berkata, pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tetapi kenyataan mereka dirakam oleh anggota polis Bukit Aman.

Termasuk Anwar dan Wan Azizah, polis telah menyoal siasat 16 ahli parlimen.

Isnin lalu, ahli parlimen pembangkang telah berkumpul di Dataran Merdeka sebelum cuba berarak ke parlimen.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menangguhkan sidang parlimen, dengan alasan penularan kes Covid-19.

Namun, ahli parlimen pembangkang berkeras untuk ke parlimen, menuduh Muhyiddin cuba menghalang sidang Dewan Rakyat kerana tidak pasti sokongan majoriti terhadapnya.

Ahli parlimen pembangkang bagaimanapun tidak dapat memasuki parlimen kerana disekat polis antirusuhan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Lihat Komen
ADS