Hospital yang menyalurkan semua kemudahan mereka bagi memerangi pandemik Covid-19 di negara ini dijangka akan terus 'mengorbankan' pesakit bukan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana dalam keadaan sekarang agak sukar untuk pihak hospital melakukan pembedahan ke atas pesakit bukan Covid-19.

"Penangguhan pembedahan elektif dan pengurangan pembedahan kecemasan mengakibatkan gangguan pada sistem penjagaan kesihatan dan kesejahteraan pesakit bukan Covid-19 bahkan untuk pembedahan kecemasan dan masa kritikal seperti pembedahan pesakit barah," katanya.

Noor Hisham berkata demikian semasa menyampaikan ucapan kepada Persatuan Ahli Anestesiologi Malaysia Kolej Anaesthesiologist di Kongres Tahunan Anestesiologi 2021.

Noor Hisham berkata isu seumpama itu berlaku khususnya bagi hospital hibrid yang menangani pesakit am dan juga kes Covid-19.

"Mustahil untuk melakukan pembedahan elektif sejak Dis 2020, dan senarai menunggu untuk pembedahan elektif serta separa elektif kini berada pada tahap paling tinggi pernah dihadapi.

"Oleh itu ada keperluan mendesak untuk kita menyusun strategi memulakan kembali pembedahan elektif bagi menangani masalah pembedahan yang tertangguh dan penyelesaian bagi pesakit yang menunggu pembedahan bukan suatu pilihan," katanya.

Noor Hisham berkata, negara telah menghabiskan 10 bulan terakhir ini untuk terus berusaha menggunakan wad dan dewan pembedahan serta membina unit rawatan intensif lapangan sementara bagi menangani lonjakan pesakit Covid-19.

Tak dapat diatasi enam bulan

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata terdapat halangan utama bagi pihaknya dalam menyediakan kemudahan terbabit.

"Pandemik ini telah mengakibatkan kekurangan tenaga kerja dan keperluan untuk melatih, melatih semula dan melabur dalam membangun tenaga kerja anestesia yang lebih besar.

"Infrastruktur dan kemudahan penting tetapi tanpa doktor dan kakitangan diisi, kami tidak akan dapat menggunakan sumber-sumber ini.

"Pelajaran yang dipelajari di sini ialah apa yang sangat penting, kita memerlukan pakar anestesiologi umum, pegawai perubatan dan jururawat rawatan kritikal dan kekurangannya telah membataskan rancangan pengembangan katil rawatan intensif semasa lonjakan," katanya.

Noor Hisham berkata, wabak itu tidak akan dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Oleh itu, katanya, keupayaan penjagaan kritikal harus ditingkatkan, bukan hanya untuk menangani kes Covid-19 tetapi juga dapat memenuhi keperluan pesakit bukan Covid-19.

"Dalam situasi pandemik tidak mungkin diatasi dalam enam bulan akan datang dan lonjakan terus-menerus kerana varian yang lebih ganas, kita perlu meningkatkan kapasiti rawatan kritikal di seluruh negara ke tahap lonjakan akan memberi sedikit kesan kepada pesakit bukan Covid-19 seperti aktiviti biasa.

"Kita tidak boleh menggunakan kapasiti awal prapandemik untuk menyerap atau menggunakan kapasiti repurposed maksimum yang diperluas untuk menguruskan peningkatan beban kerja yang berkaitan dengan lonjakan kes covid-19," katanya.

Tambah Noor Hisham, dia juga turut menekankan bahawa terdapat keperluan untuk menambah bilangan katil untuk pesakit positif Covid-19 dan negatif Covid-19.

Katanya, ini bagi membolehkan rawatan yang sempurna bagi pesakit bukan Covid-19.

[Baca berita penuh]