Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan komen berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pertemuan mereka Ahad lalu, sebagai serangan berbisa terhadap kerajaan.

Katanya, beliau mengharapkan Dr Mahathir menunggu penjelasan mengenai isu yang dibangkitkannya, tetapi belum sempat beliau memberikan penjelasan, Dr Mahathir mengkritik lagi secara terbuka.

"Beliau mengulanginya lagi, kali ini dengan lebih berbisa, apa lagi (yang) boleh (di)buat wallahhualam...beliau mahu meneruskannya (kritikan)," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbukanya di sini hari Khamis.

Abdullah berkata beliau amat kecewa dan kesal dengan tindakan Dr Mahathir itu yang mahu terus mengkritik kerajaan.

"Hari Raya banyak orang mai (datang) bertanya saya...saya kecewa dan sedih....saya (meng)harap(kan) dia dapat tunggu dulu penjelasan, saya rasa sedih mengenainya kerana saya memerlukan masa untuk memberi respons, tetapi beliau mengulanginya lagi," katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, beliau tidak mahu berbalah dengan Dr Mahathir dan apabila ditanya apa yang akan berlaku seterusnya, Perdana Menteri menjawab "Wallahhualam".

'Negara polis'

Mengulas pertemuannya dengan Dr Mahathir di Putrajaya, Perdana Menteri berkata beberapa perkara yang dibangkitkan Dr Mahathir adalah tidak benar terutamanya mendakwa negara kini adalah negara polis.

Katanya beliau tidak mempunyai hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara polis dan tiada asas bagi hujah untuk mengatakan negara ini negara polis.

"Negara yang makmur ialah negara yang mendaulatkan undang-undang dalam sistem demokrasi dan negara ini mempunyai sisten Parlimen sebagai sebuah institusi yang diiktiraf menggubal undang-undang.

"Negara yang terus wujud adalah negara yang mendaulatkan undang-undang dan kita tidak sekat kebebasan rakyat dan kita mendaulatkan undang-undang dalam (sebuah) negara demokrasi," katanya.

Abdullah berkata tiada sesiapa yang harus takut jika mereka tidak menyalahi undang-undang.

(Dr Mahathir telah membangkitkan perkara mengenai sekatan yang dikenakan terhadapnya untuk bercakap di khalayak ramai dan mendakwa pihak yang menjemputnya telah dipanggil polis dan diberi amaran).

Beliau berkata dakwaan Dr Mahathir bahawa pemimpin Umno sekarang takut untuk memberi pandangan dan semua anggota Umno menjadi "pak turut" juga adalah tidak benar, malah katanya para pemimpin dalam Umno sekarang sebenarnya telah merasa lega kerana mereka kini boleh bercakap.

"Saya kata semua(nya) tak betul (dakwaan Dr Mahathir). Ahli Umno semua rasa senang di bawah kepimpinan saya kerana mereka rasa lega kerana mereka boleh (ber)cakap...(secara) demokrasi...ini dilahirkan sendiri oleh pemimpin Umno," kata beliau.

Presiden Umno itu juga berkata Dr Mahathir ada mendakwa kononnya beliau (Abdullah) melarangnya untuk bergerak (bertemu orang ramai dan menghadiri majlis) dan perkara itu juga adalah tidak benar.

Tidak sekat Dr M

Sebaliknya, kata Abdullah, mungkin Dr Mahathir tidak tahu ketika beliau (Perdana Menteri) merupakan naib presiden Umno dan tidak memegang jawatan Kabinet dahulu, "(sekumpulan) orang yang hendak menggembirakan Dr Mahathir" telah menyekat pergerakan beliau.

"...Mungkin pada peringkat dia, dia tak larang...saya pun tak larang (ketika ini), tapi saya masa itu naib presiden yang dipilih, saya berjawatan dalam parti... kalau nak ikutkan saya boleh pergi (ke) mana-mana pun," katanya.

Abdullah berkata walaupun begitu (dengan tindakan menyekat pergerakan beliau), masih ada lagi orang yang menghormati beliau dan mungkin Dr Mahathir tidak tahu pada masa itu bahawa perkara itu dilakukan orang yang hendak menggembirakannya.

Mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa tiada sebarang projek negara dalam tempoh dua tahun ini, Abdullah berkata dakwaan itu kurang tepat kerana projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan baru sahaja memasuki tujuh bulan dan ada yang sedang dilaksanakan.

"Tun kata dah dua tahun...sedangkan RMK-9 baru masuk tujuh bulan dan kita (kerajaan) sedang jalankan projek...sebelum pertengahan tahun 2007 kita akan jelaskan (projek pembangunan) kepada rakyat dan masa ini ada projek kecil yang begitu rancak, banyak kerja untuk kontraktor kelas F sekarang, saya tahu," katanya.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan akan melaksanakan projek monorel di Pulau Pinang dengan kaedah penswastaan sepenuhnya manakala projek perumahan polis pula akan dilaksanakan secara tajaan modal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa Abdullah meminta menteri kabinet bercakap bagi pihak dirinya, Perdana Menteri berkata beliau cuma meneruskan amalan Dr Mahathir.

"Tun juga yang kata apabila ada sesuatu isu, biar menteri sahaja yang bercakap...saya ikut amalan Tun lah," katanya.

Luah isi hati

Abdullah berkata beliau kecewa dan sedih dengan sikap Dr Mahathir kerana perjumpaan mereka sebenarnya hanyalah untuk memberi ruang kepada bekas perdana menteri itu meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

"...saya beri kesempatan kepada dia untuk luahkan yang dia tak senang hati, jadi itulah yang telah dilakukan. Satu jam setengah (daripada masa pertemuan), ada antaranya pada masa dia cakap saya rasa sangat nak masuk (mencelah dan) hendak berhujah dengan dia (sebab) saya tak setuju apa yang dia cakap, tapi kalau saya buat begitu nanti akan ambil masa pula dan nanti Tun (Dr Mahathir) tak dapat bagi tahu segala-galanya kepada saya," kata beliau.

Katanya beliau juga tidak mahu berhujah dengan Dr Mahathir kerana percaya akan jadi masalah dan dituduh mencuri masa Dr Mahathir.

"Sikap saya dari awal (lagi) saya nak beri peluang kepada dia nak cakap apa yang dia tak senang hati. Saya patuhilah dengan niat saya itu, Tun ambil masa sejam setengah. Kami setuju untuk jumpa dua jam, jadi tinggallah setengah jam lagi. Bila Tun berhenti sendiri saya tak kata, (suruh) Tun, berhentilah. (Bila) dia terhenti lama, saya agak takda apa (lagilah yang hendak dikatakannya) kalau ada (tentu) dia cakap lagi...." kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata beliau memerlukan masa untuk menjawab secara terpinci segala dakwaan Dr Mahathir dan akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Mengenai komen Dr Mahathir yang mempersoalkan tindakan penangguhan pemilihan Umno sedangkan tempoh untuk mengadakan pilihan raya umum agak lama lagi, Abdullah berkata adalah hak beliau sama ada untuk mengadakan pilihanraya atau tidak.

"Itu opsyen saya...bila saya nak buat pilihanraya," katanya.

Menyentuh kenyataan Sultan Johor supaya Dr Mahathir berkelakuan seperti pesara dan berhenti daripada membidas kerajaan, Abdullah berkata titah Sultan itu membayangkan suara orang ramai.

Ditanya sama ada beliau bercadang untuk bertemu lagi dengan Dr Mahathir, Perdana Menteri berkata: "Wallahhualam, mungkin ada, mungkin tak ada".

Jawapan yang sama juga diberikan semasa ditanya apakah punca menyebabkan Dr Mahathir mengkritik beliau: "Wallahhualam dan saya tak tahu".

Ditanya apakah beliau yakin kemelut antara beliau dengan Dr Mahathir akan berakhir, Abdullah berkata "Tak tahulah, itu terpulang kepada Dr Mahathir".

Abdullah berkata tumpuannya sekarang sebagai Perdana Menteri ialah menunaikan janji kepada rakyat dan memahami rakyat.