Undi tidak percaya terhadap presiden SUPP
Satu undi tidak percaya telah dikemukakan terhadap Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri George Chan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) malam Khamis lalu.
Satu undi tidak percaya telah dikemukakan terhadap Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri George Chan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) malam Khamis lalu.
Usul tersebut dikemukakan oleh Timbalan Presiden Tan Sri Law Hieng Ding dan disokong oleh anggota CWC Daniel Ngieng.
Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri, menolak usul tidak percaya terhadapnya itu kerana ia bukan antara fungsi CWC seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti.
"Sudah tentu saya sedih ini terjadi kepada parti terutama pada masa kita perlu memperkukuhkan hubungan dan pergi ke akar umbi untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat CWC selama enam jam, yang berakhir sehingga lewat malam, di ibu pejabat SUPP di Kuching.
Menurut laporan Bernama, kesemua 25 anggota CWC yang mempunyai kuasa mengundi serta pemerhati, termasuk setiausaha-setiausaha politik Ketua Menteri dan wakil yang dipilih hadir pada mesyuarat itu.
Selepas perbincangan panjang lebar, Dr Chan membuat keputusan untuk merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pusat (CC), badan kedua terdiri daripada 168 anggota delegasi persidangan yang dipilih.
CC parti dijangka bermesyuarat pada 9 Disember manakala persidangan khas delegasi dijangka sehari selepas itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan prestasi teruk parti pada pilihanraya negeri 20 Mei lalu dan penolakan kerajaan negeri terhadap pencalonannya bagi jawatan Datuk Bandar Kuching Selatan.
Dr Chan berkata beliau tidak pasti sama ada usul tidak percaya terhadap kepimpinan beliau menandakan perpecahan di dalam parti itu.
Serah pada CC
"Mungkin ia hanya perkara peribadi," katanya merujuk kepada enam dakwaan yang dibuat Law terhadapnya.
Law, yang keluar daripada mesyuarat itu pada jam 11.15 malam, memberitahu pemberita bahawa SUPP telah hilang kredibilitinya dan presidennya perlu meletakkan jawatan jika tidak lagi mendapat sokongan CWC atau anggota-anggota parti.
"Dia (Dr Chan) tidak tegas, kepimpinan yang lemah dan tidak menunaikan janjinya. Dia menipu saya dan ramai lagi orang lain," katanya dengan jelas merujuk kepada pilihanraya parlimen lalu apabila beliau tidak tersenarai dalam kabinet persekutuan.
"Saya tiada kepentingan peribadi. Saya lakukan ini demi kebaikan parti. Niat saya baik dan saya tidak rugi apa-apa," kata Law yang juga Anggota Parlimen Sarikei.
Bagaimanapun Dr Chan, yang mengambil alih kepimpinan SUPP sebagai presiden keempat pada 1997, berkata beliau akan menyerahkan nasibnya kepada delegasi.
"Bukan saya yang menentukannya," katanya.
Walaupun usul tidak percaya terhadapnya tidak melibatkan implikasi undang-undang, pemerhati berpendapat ia boleh memberikan kesan politik yang besar, yang mampu memecahbelahkan parti komponen BN terbesar negeri itu.
Jika tindakan itu untuk memalukan Dr Chan, ia juga akan menyebabkan keadaan tidak terkawal dalam sejarah 47 tahun parti itu kerana ini kali pertama usul tidak percaya seperti itu dilakukan terhadap kepimpinan presiden parti.

