Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang (Adun), Datuk Zakaria Md Deros tidak sepatutnya membangkitkan kemarahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin apabila gagal menghadap baginda di Istana Mestika, Shah Alam Isnin lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Sambil melahirkan rasa kesal dan kecewanya dengan tindakan Zakaria itu, Dr Mohd Khir mengarahkan ketua Umno Klang itu supaya menamatkan percutiannya dan mengadap Sultan Selangor secepat mungkin.

Baginda menitahkan Zakaria menghadap bagi menjelaskan isu rumah banglo mewah ala istana miliknya yang dibina tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Kampung Idaman, Pandamaran.

"Saya kesal dan kecewa dan adalah tidak wajar untuk Zakaria membiarkan baginda Sultan yang menentukan tarikh perjumpaan, sebaliknya beliau mesti segera menghubungi istana dan menetapkan masa perjumpaan.

"Sepatutnya (beliau) mengadap Tuanku sebab ini perkara penting, Tuanku hendak jumpa pun sebab hendak minta penjelasan kerana ini melibatkan nama baik negeri (Selangor) dan rakyatnya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas semalam.

Baginda murka

Menurut laporan Bernama, akhbar tempatan hari ini memetik laporan bahawa Sultan Sharafuddin Idris Shah dikatakan murka selepas Zakaria tidak hadir ketika dititahkan mengadapnya di Istana Mestika, Shah Alam Isnin lepas.

Dr Mohamad Khir berkata beliau tidak tahu menahu mengenai percutian Zakaria di Melaka kerana sebelum ini beliau hanya diberitahu wakil rakyat itu sedang dirawat di hospital kerana dilaporkan sakit.

"Saya tidak tahu, apa yang saya tahu beliau (Zakaria) menerima rawatan di hospital kerana tekanan darah tinggi beberapa hari lalu, hanya hari ini saya baca di surat khabar dia ada (bercuti) di sana (Melaka).

"Kita harap biarlah beliau percepatkan perjumpaan itu, beliau harus faham, Tuanku ingin penjelasan kerana baginda sayangkan negeri dan rakyatnya, jadi berilah penjelasan sewajarnya," katanya.

Mengenai kedudukan jawatan Zakaria dalam parti, beliau berkata Zakaria masih ketua bahagian memandangkan Ketua Umno Bahagian Klang itu hanya melakukan kesalahan awam dan bukannya terbabit dengan kesalahan jenayah atau pecah amanah.

Beliau berkata bagaimanapun, kedudukan Zakaria tetap akan dibincang dalam mesyuarat pengurusan parti manakala jawatannya sebagai Anggota Majlis Perbandaran akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.