Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis akan soal siasat Mahathir isu perarakan di luar Parlimen
Diterbitkan:  Aug 9, 2021 8:49 AM
Dikemaskini: 6:18 AM

Polis akan menyoal siasat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tengah hari ini berhubung penglibatannya dalam perhimpunan di luar bangunan Parlimen pada Isnin lalu.

Soal siasat itu dijangka dibuat di pejabat Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, pada pukul 2.30 petang.

Mahathir, yang merupakan pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), menyertai perhimpunan itu atas kapasitinya sebagai ahli parlimen Langkawi.

Anaknya yang juga ahli parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, akan turut disoal siasat.

Sementara itu, beberapa ahli parlimen PH turut disoal siasat polis di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi pagi ini.

Antara ahli parlimen PKR yang disoal siasat ialah William Leong (Selayang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Fuziah Salleh (Kuantan), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Nor Azrina Surip (Merbok) dan Wong Chen (Subang).

Antara ahli parlimen DAP yang dipanggil ialah Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang) dan Charles Santiago (Klang), dan dari Amanah pula Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat).

Mereka disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sebelum ini, polis telah mengambil keterangan sekurang-kurangnya 16 ahli parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Pada Isnin lalu, ahli parlimen pembangkang berkumpul untuk berarak ke bangunan Parlimen namun dihalang oleh pasukan Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Perarakan itu susulan tindakan kerajaan menangguhkan sidang khas Dewan Rakyat kerana penularan Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang mendakwa ia ditangguhkan kerana ketidaktentuan majoriti yang dimiliki Muhyiddin pada masa ini.

Lihat Komen
ADS