Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR sahkan 35 ahli parlimen serah warkah ke Istana tolak Muhyiddin

PKR mengesahkan partinya telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, ketika dihubungi.

"Benar. PKR telah mengirimkan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa kesemua Ahli Parlimen PKR tidak menyokong dan menolak kepimpinan Mahiaddin Md Yassin.

"Beliau tidak patut berlengah dan hendaklah letak jawatan sekarang kerana telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, berasaskan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini memetik sumber yang menyebut kesemua 105 ahli parlimen daripada Pejuang, DAP, PKR, Warisan, Parti Sarawak Bersatu, Muda, Amanah dan Maszlee Malik (Bebas) menghantar warkah menolak Muhyiddin.

Untuk rekod, sebelum ini Umno mendedahkan bahawa sebanyak 13 anggota Dewan Rakyat parti itu menyerahkan surat tarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Perkara itu dimaklumkan kepada Seri Paduka Baginda melalui dua surat masing-masing bertarikh 30 Julai dan 3 Ogos.

Dengan itu sokongan Muhyiddin di Dewan Rakyat kini berkurang kepada 100 ahli sahaja, iaitu kurang 11 untuk mendapat majoriti mudah di parlimen.

Namun, Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh sebelum ini menegaskan masih mempunyai majoriti di parlimen selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 4 Ogos.

Dia juga berjanji untuk membawa usul undi percaya pada sidang parlimen yang dijadual bulan depan.

Lihat Komen
ADS