DAP seharusnya meyakinkan ahli-ahlinya dengan visi jangka panjang bahawa suatu hari nanti, parti itu boleh menjadi parti pemerintah, kata Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.

"Sebagai parti politik yang berwibawa, ideal menjadi pemerintah adalah berpatutan dan wajar, tetapi ia mesti merangka strategi yang sempurna dan memerlukan usaha bersama bagi menjayakannya," katanya dalam ucapan dasar di Konvensyen DAP Johor baru-baru ini.

Dengan adanya visi masa jangka masa panjang itu, beliau berkata, para ahli mesti bertungkus lumus serta turun ke padang di samping meningkat tarafkan pengurusan hal-ehwal parti, memperkukuhkan organisasi dan menyelidik dasar-dasar secara profesional 'tanpa mencari sebarang alasan terhadap kegagalan sebelum ini'.

"Walaupun DAP gagal merampaskan kuasa memerintah Pulau Pinang melalui Projek Tanjung 1, 2 dan 3, prinsip tetapi ideal untuk menjadi parti pemerintah adalah betul," katanya.

Beliau mendakwa, DAP gagal menjadi kerajaan Pulau Pinang disebabkan had undang-undang dan klausa Perlembagaan Persekutuan yang mengongkong kebebasan untuk memupuk pertumbuhan parti-parti pembangkang.

"Walaupun Projek Tanjung tidak berjaya memberikan peluang untuk DAP memerintah Pulau Pinang, tetapi di sebaliknya, ia memberikan kita perangsang untuk memajukan diri sendiri serta menegakkan ideal akan menjadi parti pemerintah kelak," tambahnya.

Matlamat jangka pendek

Selain visi jangka masa panjang, kata Dr Boo, matlamat jangka masa pendek juga tidak boleh diabai, iaitu untuk memenangi kerusi dalam pilihanraya yang akan datang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, persaingan positif di antara ahli dan pemimpin adalah pendorong bagi memajukan standard dan kematangan keahlian dan organisasi.

Menurutnya, perbuatan memburuk-burukkan nama ahli atau pemimpin lain untuk menjadi calon pada pilihanraya yang akan datang, cuma akan melemah dan memecahbelahkan organisasi parti.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli-ahli DAP Johor supaya bersikap pisitif terhadap reformasi parti dan membuat persiapan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Dr Boo juga mendakwa, tujuan kerajaan Barisan Nasional (BN) menghapuskan pemilihan kerajan tempatan adalah untuk mengongkongkan perkembangan akar umbi parti pembangkang.

Dengan itu, tegasnya, pembangkang hanya boleh bertanding dalam pilihanraya peringkat negeri dan parlimen.