Kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah mengkritik zamannya sendiri, termasuk dari aspek Melayu mudah lupa, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

"Dr Mahathir telah terlupa atau sengaja melupakan cara yang telah dilakukan dalam pelaksanaan kebebasan akhbar, politik dan ekonomi semasa menjadi Perdana Menteri.

"Tidak dapat dinafikan kejayaan beliau dalam mempraktikkan demokrasi telah menonjolkan sifat-sifat ketegasan dan autoritatif.

"Walaupun beliau memberikan kebebasan bersuara dan memaafkan rakan-rakan yang menjadi musuh politiknya, tetapi dalam proses kemantapan kuasanya, beliau telah membina auranya yang menyebabkan beliau bukan sahaja dihormati tetapi juga ditakuti," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama, Zainuddin berkata, mungkin ini tidak disedari oleh Dr Mahathir, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, tetapi ia amat dirasai oleh semua yang berurusan dengannya pada masa itu, terutamanya Menteri-Menteri Kabinet.

"Apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir sekarang terhadap Pak Lah (Abdullah) adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman (Putra Alhaj) (Perdana Menteri Malaysia yang pertama) terhadapnya sehingga Tunku sanggup menyokong pembangkang dan digunakan oleh pembangkang dalam pilihanraya...cuma caranya berbeza, Tunku lebih diplomatik tetapi Dr Mahathir lebih agresif," katanya.