Ahli perniagaan Cina Malaysia tidak mengelak daripada melabur dalam negeri kerana tidak ada sebarang peningkatan drastik dalam jumlah pelaburan mereka di republik China sejak kebelakangan ini.

Sehubungan ini, Dewan Perniagaan Cina Malaysia menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ahli perniagaan Cina Malaysia memberitahu beliau yang mereka lebih suka melabur di China .

Dr Mahathir membuat dakwaan tersebut dalam kritikan terbarunya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwanya tidak menguruskan ekonomi negara dengan baik.

"Ia tidak ada kaitan langsung dengan Abdullah yang mengambilalih kuasa tiga tahun lalu kerana kami melabur di China sejak sekian lama dan ia bukannya satu fenomena baru," kata Presiden Kehormat dewan tersebut, Tan Kai Hee ketika dihubungi.

"Pasaran China amat luas dan wujud banyak peluang. Dalam kes ini, pepatah bahawa di mana ada gula, di situlah ada semut, amat tepat sekali," tambahnya.

Digalakkan oleh kerajaan

Sebaliknya, kata Tan, jumlah pelaburan masyarakat Cina Malaysia di republik itu telah berkurangan sedikit kebelakangan ini kerana sesetengah daripada mereka telah beralih ke Vietnam, yang menawarkan peluang perniagaan yang lebih baik beserta kos pengeluaran yang rendah.

Beliau menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai "tidak begitu baik', kerana ahli-ahli perniagaan itu bukan sengaja melabur di China, tetapi atas galakan pihak kerajaan sendiri.

Tan yang mempunyai hubungan perdagangan yang baik dengan China dan mengendalikan perniagaan herbal tradisional dan pengeluar produk farmaseutikal, Hai-O Enterprise Bhd berkata adalah lebih baik melabur dalam negeri jika wujud peluang.

"Saya telah lama melabur di China dan sudah begitu biasa dengan negara tersebut, tetapi secara ikhlas, ianya bukan sentiasa mudah untuk melabur di sana kerana kita tertakluk kepada dasar dan undang-undang mereka sepanjang masa," tegasnya.

Sambil menegaskan yang kerajaan perlu melaksanakan dasar yang mesra perniagaan untuk menarik ahli perniagaan Cina Malaysia, beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak harus berhenti daripada menggalakkan mereka melabur di China.

Parti-parti kaum Cina dalam kerajaan juga turut menolak dakwaan Dr Mahathir itu.

RMK9 dalam pelaksanaan

Presiden Dewan Bersekutu Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (ACCIM), William Cheng berharap kerajaan akan melaksanakan secepat mungkin projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) bagi melonjak pertumbuhan ekonomi.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir itu, beliau dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, sebagai berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan ahli-ahli perniagaan melabur bukan sahaja di Cina, tetapi juga di Vietnam, Timur Tengah dan Russia.

Menurutnya, ACCIM, selaku badan induk yang mewakili kepentingan ahli-ahli perniagaan Cina Malaysia, telah mengadakan perjumpaan dengan Abdullah sebelum ini dan telah menyuarakan masalah mereka.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan tersebut bukan untuk pengetahuan umum.

Sejak enam bulan lalu, Dr Mahathir telah mengkritik pentadbiran Abdullah, dengan menuduh beliau tidak menguruskan ekonomi negara dengan baik, di samping dakwaan nepotisma.

Ahad lalu, kedua-dua pemimpin tersebut mengadakan pertemuan empat mata selama dua jam yang diharapkan dapat menyelesaikan persengkitan antara mereka tetapi sejurus selepas itu, Dr Mahathir meneruskan kritikannya terhadap kerajaan.

Manakala Abdullah pula menolak dakwaan Dr Mahathir bahawa ekonomi negara telah merosot kerana tidak ada projek-projek baru yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

Perdana Menteri juga berkata, projek-projek di bawah RMK9 baru tujuh bulan dilaksanakan dan ada sesetengahnya sedang dalam pelaksanaan.