Letak jawatan: Itulah nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Zakaria Md Deros bagi menamatkan kontroversi yang timbul sebelum ini.

Baginda menasihatkan demikian dalam satu kenyataan di sidang akhbar yang disampaikan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohd Munir Bani selepas Zakaria menghadap baginda di Istana Kayangan di Shah Alam hari ini .

Titah baginda, sekirannya isu dan kontroversi mengenai Zakaria adalah benar, maka beliau perlu menginsafi dirinya dan bersyukur terhadap nikmat dan rahmat yang telah anugerahkan sehingga beliau menjadi seorang yang mendapat gelaran Yang Berhormat dan menerima kurniaan Datuk di negeri ini, demi kebaikan diri sendiri.

"Baginda sebenarnya telah banyak menerima aduan dan juga keluhan daripada pihak tertentu bahawa Zakaria bersikap angkuh, kasar dan telah banyak menyakiti hati rakyat jelata menggunakan kuasa yang dipertanggungjawabkan kepada beliau. Sebagai orang Melayu, beliau hendaklah bersikap sopan santun dan berbudi bahasa," kata Mohd Munir.

Menurut laporan Bernama, Ketua Umno Bahagian Klang itu sebelum ini diarahkan menghadap Sultan Selangor Isnin lalu, bagi memberi penjelasan mengapa beliau melanggar undang-undang dengan membina sebuah banglo mewah empat tingkat tanpa medapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pelabuhan Klang itu gagal berbuat demikian kerana masalah kesihatan.

Mohd Munir berkata, sebelum ini Sultan Selangor telah membincangkan isu tersebut dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan ingin mendapatkan penjelasan sendiri daripada Zakaria sama ada isu tersebut benar atau sebaliknya.

Pohon ampun

"Adalah tidak adil sekiranya baginda tidak memberi peluang kepada Zakaria untuk memberikan penjelasan mengenai isu yang ditimbulkan terhadap beliau dan pertemuan hari ini bukan sahaja membincangkan mengenai pembinaan rumah banglo di Kampung Idaman, Klang sahaja, tetapi juga isu-isu yang melibatkan peribadi dan juga tingkahlaku beliau," katanya.

Ditanya reaksi, Zakaria sendiri semasa diperintahkan oleh baginda untuk melepaskan jawatan ahli MPK, Mohd Munir berkata:"Itu beliau sendiri akan mempertimbangkan perkara itu dan beliau mungkin berbincang dengan Menteri Besar selepas ini".

Mohd Munir berkata, Zakaria juga telah memohon ampun daripada baginda kerana tidak dapat menghadap Sultan Selangor itu sebelum ini kerana sakit darah tinggi dan tidak dapat bercakap dengan jelas.

"Beliau ada mengaku atas kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut," katanya.

Ditanya mengenai aduan rakyat jelata mengenai tingkahlaku Zakaria, Mohd Munir berkata, Sultan Selangor sebelum ini mendapat banyak aduan mengenai wakil rakyat itu tetapi akhir-akhir ini, aduan rasmi telah diserahkan sendiri kepada baginda.

Mohd Munir bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butir aduan tersebut.