Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo telah memberi kata dua kepada Datuk Zakaria Md Deros Letak jawatan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum 8 November atau digugurkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri pada dasarnya enggan melantik Zakaria sebagai ahli MPK memandangkan beliau berhadapan dengan pelbagai masalah.

"Kita harap dia berbuat demikian (letak jawatan) sebelum kerajaan negeri buat keputusan," katanya ketika ditemui di rumah terbukanya di Simpang Lima, Sungai Besar di Sabak Bernam hari ini.

Menurut laporan Bernama, Dr Mohamad Khir berkata sekiranya Zakaria meletak jawatan sebagai Anggota MPK, beliau merupakan insan yang bertanggungjawab kerana menyedari kesilapannya.

Dengan meletak jawatan juga, katanya, Zakaria dapat menjaga nama baik beliau dan keluarganya.

Menteri Besar itu berkata jika Zakaria meletak jawatan sebagai Anggota MPK ia tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang dan Ketua Umno Bahagian Klang.

Ditanya sama ada Zakaria boleh merayu agar tidak perlu meletak jawatan, Dr Mohamad Khir berkata: "Untuk masa ini eloklah dia letak jawatan."