Kursus hubungan etnik yang telah mencetuskan kontroversi berhubung penggunakan buku teks yang berunsur 'perkauman' telah diberi pendekatan baru ke arah memahami dengan lebih baik lagi sejarah Malaysia, perlembagaan serta dasar-dasar negara.

Perkara ini didedahkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed dalam satu wawancara dengan akhbar New Straits Times semalam.

Menurutnya, universiti awam sudah bersedia untuk melaksanakan garispanduan baru kursus tersebut yang menekankan kepada aspek masyarakat majmuk Malaysia, Disember ini.

Sebelum itu, buku panduan kursus tersebut yang ditulis pensyarah Universiti Putra Malaysia, dikritik hebat kerana antara lain, menyalahkan parti pembangkang DAP sebagai punca rusuhan 13 Mei 1969 dan sikap belia India yang anti-sosial sebagai faktor penyumbang kepada insiden Kampung Medan pada 2001.

Ia juga melabelkan gesaan kumpulan pelobi Suqiu supaya dilaksanakan dasar tindakan afirmatif yang tidak bersikap diskriminasi, sebagai 'ekstrim'.

Menurut Mustapa, modul terbaru itu akan menyentuh rasional Artikel 152 mengenai bahasa kebangsaan, Artikel 153 mengenai kedudukan bumiputera, Artikel 3 mengenai agama, perlembagaan dan latarbelakang pelaksanaan dasar-dasar ekonomi negara.

Ia bertujuan untuk mengingatkan generasi muda mengenai peruntukan penting dalam perlembagaan di mana pengasasnnya seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Siew Sin dan Tun VT Sambanthan, turut memberi sumbangan mereka ke arah mewujudkan masyarakat muhibah dan bersikap bertolak ansur.

Walaupun kursus tersebut mengundang sasaran hebat kerana mencetuskan sentimen berkauman sehingga modulnya terpaksa ditarik balik, Mustapa berkata, beliau berpendapat sesuatu harus dilakukan untuk menangani masalah perkauman di universiti awam.

Bagaimanapun, beliau percaya matlamat untuk mewujudkan integrasi kaum di peringkat universiti tidak boleh dicapai melalui pengenalan kursus tersebut semata-mata.

Katanya, masalah itu telah lama wujud sejak bertahun-tahun yang lalu dan "kita memerlukan beberapa tahun sebelum kita melihatkan hasil kursus tersebut".

Melihat ke hadapan

Mustapa berkata, garispanduan yang baru itu yang akan memberi lebih penekanan terhadap perpaduan dan sikap tolak ansur, akan diperkenalkan di semua universiti awam.

"Ia lebih bersikap melihat ke hadapan berbanding draf sebelumnya kerana kita mahu menonjolkan aspek positif dan mengenai kepelbagaian budaya.

"Kita telah membuangkan aspek-aspek positif dan perenggan yang dibantah oleh sesetengah pihak," katanya.

Mustapa juga berkata, modul baru itu bertujuan untuk mengurangkan segregasi kaum di universiti, yang menurutnya wujud pemisahan kaum itu yang begitu jelas sekali di kafeteria universiti, dewan syarahan dan aktiviti sukan.

"Jadi cabarannya ialah bukan mengenai modul tersebut, tetapi bagaimana kita boleh menukar minda dan sikap mahasiswa kita," katanya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kekecewaannya kerana program di universiti biasanya dimonopoli oleh pelajar Melayu dan berharap ia boleh diperbaiki dan disertai oleh pelbagai kaum. Berita asal