Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah adukan Muhyiddin ke polis, AMK minta SPRM siasat
Diterbitkan:  Aug 14, 2021 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Parti Amanah mengadukan kepada polis tawaran-tawaran dibuat Muhyiddin Yassin kepada ahli parlimen pembangkang semalam agar membolehkan perdana menteri itu disiasat kerana didakwa melibatkan unsur rasuah.

Berdasarkan maklumat yang disebarkan Amanah, parti itu mula mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa di pelbagai balai polis mulai jam 11 pagi ini.

Ia diumumkan Ketua Biro Mobilisasi Amanah Mohd Sany Hamzan.

Sementara itu PKR pula membawa isu berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui tindakan ketua pemudanya Akmal Nasir, serta ketua biro undang-undang sayap itu Chiew Choon Man.

Kata mereka ucapan Muhyiddin semalam mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan memberi kesan negatif kepada kedaulatan undang-undang selain menjejaskan kewibawaan institusi kerajaan.

Dalam Ucapan tersebut, kata Akmal dan Chiew, perdana menteri terbabit jelas mengakui dia telah hilang kepercayaan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

"Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka dia hendaklah meletakkan jawatan melainkan atas permintaannya, parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Bagaimanapun, daripada meletakkan jawatan Muhyiddin sebaliknya membuat pelbagai tawaran yang berbentuk sogokan kepada seluruh ahli Dewan Rakyat bagi mendapat sokongan mereka bagi membolehkan dia kekal menjadi perdana menteri," kata mereka.

Semalam dalam ucapan yang disiarkan ke seluruh negara, Muhyiddin menegaskan dia tidak akan meletak jawatan perdana menteri di sebalik tindakan beberapa ahli parlimen Umno yang menarik balik sokongan kepadanya, sekali gus menghilangkan dukungan majoriti yang diperlukan mengikut perlembagaan.

Presiden Bersatu itu mendakwa ketika ini tiada mana-mana ahli parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

Muhyiddin juga menawarkan beberapa pembaharuan pentadbiran kepada parti pembangkang jika mereka bersetuju menyokongnya dalam usul percaya di parlimen, sekali gus membuka ruang untuknya kekal sebagai perdana menteri.

Menurut Akmal dan Chiew Pemuda PKR (AMK) mengesyaki Muhyiddin sudah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta SPRM membabitkan tawaran suapan kepada pegawai badan awam untuk mendorong mereka mengundi atau tidak mengundi dalam mesyuarat awam.

"Memandangkan unsur sogokan tersebut dibuat secara langsung di televisyen, maka AMK mengemukakan laporan kepada SPRM ini secara terbuka agar siasatan dapat dijalankan ke atas Muhyiddin," kata mereka.

Lihat Komen
ADS