Pergaduhan kecil tercetus apabila kira-kira 200 orang dan penyokong parti DAP mengadakan demonstrasi di hadapan rumah ala-istana milik Datuk Zakaria Md Deros di Kampung Idaman, Pandamaran, dekat sini hari ini.

Demonstrasi diketuai oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu yang bermula kira-kira jam 10 pagi menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki, yang dipercayai penyokong Zakaria, cuba merampas sepanduk dan kain rentang yang dibawa oleh kumpulan demonstrasi itu.

Menurut laporan Bernama, kumpulan penyokong Zakaria itu dikatakan mahu merampas sepanduk dan kain rentang bertulisan Bahasa Melayu dan Cina yang antaranya tertera "Robohkan Mahligai Zakaria".

Bagaimanapun, beberapa anggota polis dapat meredakan keadaan dan Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Supt Mohan Singh mengarahkan semua yang berada di tempat kejadian bersurai kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mohan menasihatkan agar pihak yang mendakwa dicederakan dalam insiden itu supaya membuat laporan polis.

Nasihat Sultan

Bagaimanapun ketika insiden kekecohan itu, Zakaria, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang dan anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK), tidak kelihatan di rumahnya itu.

Zakaria terlibat dalam kontroversi apabila dia membina rumah ala-istana di kawasan perumahan kos rendah tanpa kebenaran MPK.

Isu berkaitan melarat apabila beliau, anaknya Zainuri serta menantunya Roselinda Mohd Jamil memegang jawatan sebagai anggota MPK.

Sabtu, Zakaria, ketika menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dinasihatkan supaya melepaskan jawatan sebagai anggota MPK.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata Zakaria diberi tempoh sehingga 8 November ini untuk meletakkan jawatan dalam MPK atau akan digugurkan, jika tidak berbuat demikian.