Gabungan Perikatan Nasional (PN) meraih kuasa menerusi rampasan yang dibuat di tengah-tengah pandemik. Ia memaksa perdana menteri baru serta barisan kabinetnya segera memulakan langkah untuk membendungnya.

Pada mulanya, pendekatan yang diambil menunjukkan keputusan positif dengan bilangan kes yang berkurang. Tetapi tidak lama kemudian, keadaan menjadi tidak terkawal.

Sejak kes pertama Covid-19 dikesan di Malaysia pada 25 Januari 2020, virus itu terlah meragut lebih 12,000 nyawa di Malaysia.

Ia juga nampaknya memberi "pukulan maut" terhadap pentadbiran Muhyiddin Yassin yang berusia 16 bulan, dengan dia dijangka letak jawatan sebagai perdana menteri esok.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu, bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam berkongsi pandangannya berkenaan perkara itu.

Dia membangkitkan bagaimana kerajaan yang rapuh itu terpaksa turut mengambil kira politik dalam rancangan menangani Covid-19 untuk menyeimbangkan usaha menyelamatkan nyawa dan punca pendapatan.

"Kerajaan PN (mendapat kuasa) ketika permulaan wabak dan ia bukan kerajaan yang kuat dari segi bilangan sokongan. Dari awal, majoritinya tipis.

"Jadi kompromi perlu dilakukan, di mana ada keperluan untuk memberi ruang kepada mereka yang berprestasi baik dan mereka yang tidak," katanya.

Katanya, pelbagai kedudukan penting diberikan kepada pihak tertentu bukan berdasarkan kemampuan tetapi balasan kepada sokongan yang diberi.

Katanya lagi, ia situasi yang "malang" buat perdana menteri dan juga rakyat.

"Bagi perdana menteri, ia pastinya satu mimpi ngeri. Saya pasti dia tahu apa yang berlaku tetapi tidak dapat bertindak balas kerana sebarang tindak balas akan membawa keputusan negatif.

"Bagi rakyat, kita terperangkap dengan pandemik dan pada masa sama, kita ada kerajaan yang tidak kuat dan tidak dapat membuat keputusan yang kukuh.

"Inilah punca kepada apa saja yang terjadi sekarang," katanya lagi.

Salah seorang menteri yang gagal memberi keyakinan ketika krisis ini dengan kesilapan (faux pas) berulang kali adalah menteri kesihatan sendiri, Dr Adham Baba.

Kerajaan juga dikritik kerana dasar berhubung Covid-19 yang berubah-ubah dan keputusan untuk mengisytiharkan darurat - yang dikatakan untuk melawan Covid-19 - juga dipandang secara penuh syak wasangka.

Pengkritik dan seterus politiknya mendakwa ia bagi menghalang wakil rakyat membangkitkan soal majoritinya di Parlimen.

Terus merosot selepas PRN Sabah

Ketika peringkat awal penularan Covid-19, kata Subramaniam, langkah yang diambil berdasarkan sains dan pegawai kesihatan awam - yang terbukti berkesan.

"Kawalan pergerakan adalah dalam erti kata sebenar. Keyakinan awam tinggi terhadap penyampaian (oleh kerajaan berkenaannya). Jadi ini membantu mengawal pandemik," katanya.

Bagaimanapun, kerajaan PN dilihat sukar mengekalkan keseimbangan antara nyawa, punca pendapatan dan politik.

Bagi Subramaniam, PRN Sabah pada September 2020 adalah contoh yang menunjukkan kesukaran itu. Ia dibuat setelah satu lagi usaha merampas kuasa di tengah-tengah Covid-19.

"Pilihan raya itu tidak berkaitan dengan nyawa dan punca pendapatan. Ia adalah keputusan politik dan prinsip kesihatan awam tidak dipatuhi.

"Sebaik sebelum ia diadakan, Sabah menyaksikan peningkatan kes dan lebih memburukkan keadaan, kita buat keputusan untuk adakan pilihan raya," katanya lagi.

Berbeza dengan pilihan raya Singapura pada Julai 2020 yang meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, Subramaniam berkata PRN Sabah seolah-olah seperti pesta.

"Ada kerumunan yang besar...Tiada had untuk jumlah orang, ada kenduri dengan orang tak pakai pelitup muka.

"Selain itu, pergerakan tidak terkawal dari semenanjung ke Sabah dan sebaliknya," katanya lagi.

Subramaniam yang merupakan seorang pengamal dermatologi juga berkata, keperluan kuarantin yang biasa juga tidak dikuatkuasakan secara berkesan.

"Kita tahu sebaik selepas pilihan raya, Covid-19 mula tersebar di semenanjung...Keadaan tidak pernah pulih selepas itu. Untuk memburukkan keadaan, muncul pula varian Delta," katanya lagi.

Kluster kilang dan tempat kerja

Tanpa menyebut sebarang nama, Subramaniam berkata ada individu yang memegang kuasa merasakan kegiatan ekonomi tidak perlu disekat untuk satu tempoh yang berlanjutan dan memutuskan untuk membukat beberapa sektor.

Walaupun kesinambungan kegiatan ekonomi adalah penting, dia menekankan keputusan berhubung perkara itu perlu berpandukan sains dan ditentukan oleh aspek kesihatan awam.

"Dalam banyak keadaan, kita melihat kemunculan kluster kilang dan tempat kerja serta kluster yang melibatkan pekerja asing - ini memang sudah dijangka.

"Ini kerana pekerja asing hidup berasaskan komuniti. Mereka bergerak secara berkumpulang, hidup dan makan secara berkumpulan," katanya.

Selain itu, Subramaniam berkata penyampaian yang dibuat kerajaan juga tidak konsisten, dan ia menyebabkan orang ramai keliru dan marah.

"Ada perkara tertentu terpakai untuk golongan tertentu tetapi tidak terpakai kepada pemimpin politik. Ahli politik melanggar undang-undang dan tindakan yang diambil juga tidak konsisten.

"Jika anda tanya saya mengapa ini berlaku (peningkatan kes), ini kerana pertimbangan saintifik, kesihatan dan politik tidak selari," katanya lagi.

[Baca berita asal]