Penganalisa: Konflik Dr M-Pak Lah cetus suasana tidak menentu
Pertelingkahan berterusan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengganti pilihannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja memberi kesan kepada kedua-duanya tetapi juga mewujudkan suasana tidak menentu dalam senario politik Malaysia, kata para penganalisa politik.
Pertelingkahan berterusan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengganti pilihannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja memberi kesan kepada kedua-duanya tetapi juga mewujudkan suasana tidak menentu dalam senario politik Malaysia, kata para penganalisa politik.
Menurut mereka, ia telah memberi kesan kepada Abdullah yang prestasinya dilihat mengecewakan selepas mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya umum 2004.
Seorang pengulas politik, James Wong Wing On berkata, dalam politik Malaysia, apa yang paling penting adalah persepsi, apatah lagi jika dakwaan seumpama itu dibuat oleh seorang bekas Perdana Menteri.
Manakala Maznah Mohamad, penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Asia di Universiti Nasional Singapura pula berkata, dakwaan Dr Mahathir seorang pakar strategi yang bijak mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap Abdullah.
"Matlamat Tun Mahathir adalah untuk menjatuhkan Abdullah. Saya tidak fikir beliau akan berhenti sehinggalah ianya tercapai," katanya.
Pertelingkahan yang berterusan itu telah menimbulkan suasana tidak menentu di tengah-tengah kebimbangan terhadap ekonomi Malaysia yang merosot dan rasa tidak puashati bahawa Abdullah tidak memenuhi janji-janji pilihanraya seperti memerangi rasuah, kata Maznah.
'Tindakan Dr M tidak baik'
Tetapi kesannya bukan hanya menimpa Abdullah sahaja. Tetapi serangan terbaru Dr Mahathir, terutama ketika menjelangkan Hari Raya Aidilfitri di mana umat Islam bermaaf maafan, turut membimbangkan rakyat Malaysia dan mencetuskan rasa tidak senang dalam Umno.
"Rakyat merasakan amat tidak baik bagi Dr Mahathir melakukan semua itu menjelang Hari Raya," kata Prof Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Katanya, tindakan Dr Mahathir itu sebenarnya membuat rakyat tidak senang dan beliau dilihat seolah-olah tidak konstruktif dan mementingkan kepentingan diri dan bukannya kepentingan negara.
Shamsul berkata, wujud unsur-unsur hipokrasi dalam dakwaan rasuah Dr Mahathir terhadap Abdullah, dan dakwaan yang parti pemerintah mahu menutup mulutnya dan beliau dipulau oleh pihak media.
"Perspektif umumnya ialah beliau mengkritik perkara yang sama yang diwujudkannya sewaktu 22 tahun beliau berkuasa, seperti negara polis...jadi beliau sebenarnya bercakap tentang dirinya sendiri, dan bukannya mengenai Abdullah," katanya.
Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, pertelingkahan tersebut hanya menguntungkan pembangkang, yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu, tetapi beberapa orang pengulas menjangka pergeseran tersebut boleh mengakibatkan ketidakstabilan politik yang serius.
"Ia akan mencerahkan lagi peluang pihak pembangkang untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang, walaupun mereka tidak mungkin mampu menumbangkan kerajaan," kata James Wong mengenai pilihanraya umum yang dijadual diadakan pada 2009.
Tuduhan baru
Mahathir dan Abdullah mengadakan pertemuan empat mata, dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bagaimanapun, pertemuan tersebut yang diharapkan oleh banyak pihak, terutama dalam Umno, akan menamatkan pertelingkahan antara mereka, tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau akan terus mengkritik kerajaan dan dalam dakwaan terbarunya, beliau mendakwa Abdullah mentadbir sebuah "negara polis", serta mengulangi dakwaannya mengenai nepotisma, rasuah dan penguruan ekonomi yang tidak cekap.
Abdullah pula memecahkan 'kebisuannya' dengan menyifatkan dakwaan Dr Mahathir itu sebagai 'serangan yang berbisa' sambil menegaskan bahawa anak-anak bekas Perdana Menteri memperolehi projek lebih besar sewaktu beliau berkuasa.
Dalam surat terbukanya kepada rakyat Malaysia, yang diedarkan melalui Internet, bekas Perdana Menteri itu berkata, satu iklim ketakutan sedang menyelubungi negara ini hingga tiada siapa berani menegur atau mengkritik Perdana Menteri.
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.