Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KATA MP l Malaysia memerlukan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baharu untuk membawa masuk pasukan dan dasar-dasar baharu yang boleh menghentikan kemusnahan akibat Covid-19 dan juga menyalakan semangat untuk Impian Malaysia.

Negara kita tidak memerlukan Naib Preside Umno, Ismail Sabri Yaakub yang telah menjadi muka awam kerajaan yang gagal menguruskan wabak Covid-19 sehinggalah negara kita menyaksikan lebih daripada 12,500 kematian dan lebih daripada 1.4 juta kes

Melainkan terdapatnya kepimpinan dan dasar-dasar baharu, Malaysia akan terus menuju ke arah 15,000 kematian dan lebih daripada 1.7 juta kes Covid-19 semasa kita menyambutkan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos.

Tidak akan ada perubahan arah dasar, sama ada dalam pengurusan pandemik Covid-19, kebangkitan semula ekonomi, atau dasar pembangunan negara bangsa yang telah menyebabkan negara dikatakan sebagai berada dalam arah menjadi sebuah negara gagal oleh para pemerhati politik.

Ismail Sabri sebagai perdana menteri hanya akan meneruskan dasar kakistokrasi dan kleptokrasi sedia ada ini yang hanya akan menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara gagal.

Malaysia memerlukan seorang perdana menteri baharu dan kepimpinan baharu di mana semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik boleh bercita-cita dengan Impian Malaysia, di mana negara kita menjadi sebuah negara berkelas dunia, dan mengambil langkah untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia untuk menjadikan negara kita “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

Sejak tahun 1970, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah berkembang sebanyak 90 kali ganda, namun begitu angka ini untuk Indonesia, Vietnam, China, Singapura, dan Korea Selatan, masing-masing berkembang sebanyak 117, 122, 163, 175, dan 178 kali ganda.

Selepas 50 tahun, kedua-dua Singapura dan Vietnam telah mengatasi kedudukan Malaysia dengan KDNK yang lebih besar.

Dalam masa 50 tahun yang akan datang, adakah kita akan mengatasi negara lain atau akan ada lebih banyak negara lain yang mengatasi kita?

Kita mahukan seorang perdana menteri dan pimpinan yang boleh merancang untuk Malaysia dalam tahun 2070, bukannya seorang perdana menteri yang hanya akan bimbang mengenai kelangsungan karier politiknya di Parlimen atau hanya menumpukan usaha untuk mengawal wabak Covid-19 sahaja.

Seorang perdana menteri untuk masa hadapan semua rakyat Malaysia -- hari ini dan yang akan datang!


LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen DAP Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS