Peralihan pimpinan Angkatan Muda PKR berjalan lancar
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR) membuat beberapa rombakan berikutan peletakan jawatan Mohd Ezam Mohd Noor dan Faisal Sanusi sebagai ketua dan timbalan ketua pergerakan tersebut semalam.
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR) membuat beberapa rombakan berikutan peletakan jawatan Mohd Ezam Mohd Noor dan Faisal Sanusi sebagai ketua dan timbalan ketua pergerakan tersebut semalam.
Berikutan itu, Naib Ketua Angkatan Muda, Samsul Iskandar Mohd Akin dilantik sebagai pemangku ketua manakala jawatan yang dikosongkan oleh Faisal tidak diisi.
Mengikut perlembagaan PKR, Timbalan Ketua Angkatan Muda yang meletak jawatan tidak wajib diisi sehingga pemilihan akan datang. Bagaimanapun, pemangku ketua mempunyai kuasa untuk membuat pelantikan.
Badrul Hisham Shaharin yang sebelum ini menjadi Timbalan Ketua Penerangan AMPKR dilantik menjadi penolong setiausaha. Tempat beliau diambil oleh Amiruddin Shaari yang sebelum ini exco lantikan.
Berikutan itu, jawatan naib ketua yang sebelum ini tiga orang kini tinggal dua iaitu S Manikavasagam dan Sharifah Shahida Syed Kamaruzzaman. Ia akan diisi dalam kongres parti itu tahun depan.
Rombakan ini diumumkan oleh Ezam dalam sidang media di ibu pejabat PKR di ibu negara semalam selepas mengadakan mesyuarat Exco AMPKR.
Berjalan lancar
Beliau juga mengumumkan pelantikan Md Zaman Md Tasi sebagai Ketua AMPKR Wilayah Persekutuan, Halimey Abu Bakar (Selangor), Khairul Anwar Ramli (Kedah), Wan Mohd Anies Wan Mohd Adnan (Terengganu) dan Rizan Ali (Pahang) yang baru berkuatkuasa serta merta.
Ezam berkata, perletakan jawatan beliau dan Faisal diterima oleh mesyuarat Exco Angkatan Muda PKR kerana beliau telah mengumumkan perkara ini dalam Kongres parti di Pulau Pinang tahun lalu.
"Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia juga selaras dengan perlembagaan parti yang menetapkan pemimpin angkatan itu perlu berusia di bawah 40 tahun," katanya.
Ezam kini berusia 39 tahun dan Faisal 38 tahun. Bagaimanapun mereka tidak mahu menunggu sehingga kongres parti itu tahun depan kerana mahu memastikan peralihan pucuk pimpinan pergerakan itu berjalan lancar.
Beliau berkata perletakan jawatannya bersama Faizal tidak akan menjejaskan kekuatan Angkatan Muda kerana beliau yakin pucuk pimpinan baru mampu memacu kekuatannya.
"Sebahagian besar daripada pucuk pimpinan itu telah melalui pelbagai pengalaman termasuk ditahan polis sejak PKR ditubuhkan tujuh tahun lalu.
Kekal dalam parti
"Sebagai platform pemuda, Angkatan Muda wajar dipimpin oleh orang muda. Shamsul Iskandar baru berumur 31 tahun dan beliau sangat sesuai untuk memimpin pergerakan ini," katanya.
Ezam berkata, walaupun telah meletakkan jawatan, beliau akan terus kekal dalam PKR. Beliau merupakan Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan Ketua Bahagian Shah Alam.
Sementara itu, Samsul Iskandar berkata, beliau akan memfokuskan kepada persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Katanya, beliau dan pucuk pimpinan tertinggi Angkatan Muda PKR akan turun ke negeri-negeri dan bahagian bagi memperkemaskan jentera pilihanraya parti.
Pada masa sama, katanya, Angkatan Muda PKR akan memberi tumpuan kepada penyelesaian kepada masalah Mat Rempit di negara ini.
"Jalan penyelesaian kita adalah lebih baik daripada yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN). Apa yang dibuat oleh BN adalah untuk kepentingan politik mereka semata-mata," katanya lagi.

