Perkhidmatan awam tetap berjalan seperti biasa, kata KSN
Susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata perkhidmatan awam akan terus menjalankan khidmat kepada rakyat.
Dalam kenyataan hari ini, Zuki memberi jaminan yang semua pejawat awam, terutama petugas barisan depan, kekal komited dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas.
"Perkhidmaan awam komited mendukung konsep neutrality dan government of the day berdasarkan rule of law.
"Jentera kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang sangat mencabar ini," katanya.
Dengan ketiadaan jemaah menteri, Zuki berkata urusan pentadbiran akan diterajui oleh ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan persekutuan, sementara pasukan keselamatan seperti polis dan tentera sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan awam.
"Segala usaha, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan yang besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) yang menjadi senjata ampuh dalam melawan Covid-19," katanya lagi.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin, tetapi pada masa sama bertitah agar dia menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara sehingga perdana baru dilantik.

