Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menggesa Sultan Selangor supaya menarik balik gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Derus ekoran kontroversi yang melandanya sekarang.

Semalam, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganjurkan protes di hadapan rumah ala istana yang dibina oleh Zakaria tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK), tetapi telah diganggu oleh penyokong ketua Umno Klang itu. Dua orang mengalami kecederaan dalam pergelutan tersebut.

Sabtu lalu, Sultan Selangor menasihatkan Zakaria meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) selepas orang ramai membantah tindakannya membina rumah mewah di Kampung Idaman, Klang tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan, Lim menegaskan: "...dalam tempoh kurang 24 jam, Zakaria sekali lagi tidak mengendahkan teguran Sulatan apabila para penyokongnya bertindak ganas dan berkelakuan seperti samseng terhadap protes yang diadakan secara aman di luar rumh Zakaria itu.

"Adalah jelas daripada insiden semalam bahawa Zakaria tidak berniat langsung untuk mematuhi nasihat Sultan Shafaruddin supaya meletakkan jawatan. (Baginda Sultan) sepatutnya menarik balik gelaran Datuk sebagai langkah pertama memulihkan rasa hormat dan maruah anugerah diraja," katanya.

Beliau juga berkata, insiden tersebut dan keengganan Zakaria "menyesal dan memohon keampunan Allah" seperti yang dinasihatkan oleh Sultan adalah amat memalukan.

Kepimpinan yang lemah

"Pertama, ia memalukan Zakaria, kedua memalukan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri (Mohd) Khir Toyo yang sepatutnya campurtangan lebih awal lagi untuk membetulkan Zakaria dan bukannya menunggu sehingga Sultan mengambil tindakan; dan ketiga, memalukan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kerana tidak mengambil tindakan terhadap Zakaria," katanya.

Lim berkata, arahan kepada Zakaria supaya meletakkan jawatan sebagai ahli MPK sepatutnya datang daripada Perdana Menteri dan Mohd Khir (foto) tanpa membabitkan sultan.

"... Ini hanya mencerminkan kepimpinan politik Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor yang lemah dan tidak baik," kata Lim.

Zakaria kini berdepan dengan masalah kerana kegagalannya membayar cukai pintu bagi rumahnya sekarang sejak 12 tahun lalu, serta cukai pintu bagi pejabat Umno Pelabuhan Klang dan pejabat cawangan Kampung Idaman lebih sedekad yang lalu.

Dua minggu lalu, beliau mendakwa tidak sihat untuk menghadap Sultan Selangor ekoran isu pembinaan rumah mewanya di Kampung Idaman tanpa kebenaran MPK.

Akhbar The Star telah menyiarkan gambar Zakaria sedang bercuti di sebuah chalet di Alor Gajah, Malacca, sewaktu cuti Hari Raya minggu lalu. Berita asal