Pejabat MB S'gor perjelas isu Zakaria
Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini menjelaskan bahawa Datuk Zakaria Md Deros, yang terlibat dalam kontroversi pembinaan rumah ala istana di Kampung Idaman, Pandamaran, telah diminta melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) secara sukarela sebelum majlis menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sabtu lalu.
Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini menjelaskan bahawa Datuk Zakaria Md Deros, yang terlibat dalam kontroversi pembinaan rumah ala istana di Kampung Idaman, Pandamaran, telah diminta melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) secara sukarela sebelum majlis menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sabtu lalu.
Satu kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Besar yang dikeluarkan hari ini menyebut, Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang dan Ketua Umno Klang, turut diminta memaklumkan mengenai peletakan jawatannya kepada baginda semasa pertemuan itu.
Menurut kenyataan tersebut, penjelasan itu dikeluarkan bagi bagi memperbetulkan tanggapan bahawa tiada tindakan telah diambil oleh kerajaan negeri dalam isu membabitkan Zakaria sebelum pertemuannya dengan Sultan Selangor Sabtu lalu.
Menurut laporan Bernama, perkara itu tidak didedahkan kepada umum kerana kerajaan negeri ingin memberi peluang kepada Zakaria untuk menyelesaikan isu tersebut tanpa mengaibkan mana-mana pihak serta meletakkan kepentingan rakyat dan negeri di tempat yang sepatutnya.
Bagaimanapun, katanya, apabila Zakaria gagal berbuat demikian, maka kerajaan negeri terpaksa mendedahkan perkara itu kepada umum.
Berikutan itu, tambahnya, kerajaan negeri telah memberikan sehingga 8 November untuk Zakaria mengambil tindakan melepaskan jawatan sebagai anggota MPK.
Hanya dua saudara
Perkara itu, diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang ditemui pada Majlis Rumah Terbukanya di Simpang Lima, Sungai Besar, Sabak Bernam Sabtu lalu.
Ketika menghadap Sultan Selangor Sabtu lalu, Zakaria dinasihatkan supaya melepaskan jawatannya sebagai anggota MPK.
Zakaria terlibat dalam kontroversi apabila beliau membina rumah ala istana di kawasan perumahan kos rendah tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pelantikan beliau, anaknya Zainuri (foto) dan menantu Roselinda Abdul Jamil sebagai anggota MPK juga dipersoalkan banyak pihak.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri membuat keputusan hanya dua orang bersaudara dibenarkan memegang jawatan sebagai anggota Majlis pada masa yang sama.
Tapisan juga akan dilakukan terhadap calon anggota Majlis bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang tunggakan cukai pintu atau sebarang tunggakan kewangan lain kepada PBT.
Lantik profesional
Kenyataan itu menyebut semua anggota Majlis diberi masa dua bulan untuk melangsaikan sebarang tunggakan yang terakru.
Pelantikan anggota itu dibuat setelah calon melalui proses saringan ketat oleh polis dan Badan Pencegah Rasuah bagi memastikan mereka yang dilantik mempunyai integriti.
Kenyataan itu menjelaskan pelantikan anggota Majlis dibuat mengikut cadangan ketua parti komponen Barisan Nasional, manakala nama-nama calon Umno biasanya diserahkan oleh ketua bahagian yang berkaitan sebagaimana yang dipersetujui dalam mesyuarat Perhubungan Umno Negeri.
Dr Mohamad Khir telah mencadangkan supaya Akta Kerajaan Tempatan 1976 dipinda bagi membolehkan pelantikan golongan profesional sebagai anggota Majlis di kawasan masing-masing bagi memperluaskan kepelbagaian latar belakang pelantikan anggota Majlis.
"Kerajaan negeri berharap agar pindaan ini akan dapat dibuat di Parlimen untuk dilaksanakan di peringkat negeri. Kerajaan negeri juga mencadangkan agar perkhidmatan tertutup PBT diubah kepada perkhidmatan guna sama seperti jabatan-jabatan lain di bawah perkhidmatan awam," kata kenyataan itu.

