Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Walau sangsi dengan Jho Low, bekas CEO 1MDB tetap ambil bonus

Pasukan peguam Najib Razak berkata, dakwaan rasa sangsi Mohd Hazem Abdul Rahman terhadap peranan Low Taek Jho, atau Jho Low, dalam 1MDB tidak menghalang bekas CEO syarikat itu daripada tetap menerima bonus sebanyak RM2 juta.

Perkara itu dibangkitkan dalam perbicaraan kes rasuah berjumlah RM2.28 bilion terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Dalam pemeriksaan balas terhadap Hazem yang merupakan saksi pendakwaan ke-10, peguam Muhammad Shafee Abdullah bertanya mengapa dia masih menerima wang itu walaupun didakwa sedar akan peranan Jho Low yang mengawal 1MDB.

Pada perbicaraan 8 Februari lalu, Hazem dalam keterangannya berkata, Jho Low mengawal syarikat itu, terutama dalam aspek pelaburan.

Pada 15 Februari pula, Hazem mendakwa dia akur dengan jenayah yang didakwa berlaku di 1MDB kerana takut menyinggung Najib, yang ketika itu perdana menteri dan menteri kewangan.

Ketika itu, dia mengakui pendapat Shafee bahawa, walaupun takut untuk menyinggung Najib ketika itu, dia masih menerima bonus sebanyak RM2.725 juta semasa meletakkan jawatan sebagai CEO 1MDB.

Dalam perbicaraan hari ini, Shafee bertanya kepada Hazem mengapa dia masih menerima bonus tersebut tanpa rasa malu.

Shafee: Jawatankuasa (penilaian 1MDB) berkata anda melangkaui jangkaan. Adakah anda rasa ia betul dan rasa layak untuk menerima bonus?

Hazem: Saya tidak tahu, mereka yang memutuskannya.

Shafee: Syarikat hadapi banyak masalah, adakah anda tak rasa malu terima bonus itu?

Hazem: Saya tak setuju.

Shafee: Anda dakwa kecil hati (your pride was affected) (dengan Jho Low yang didakwa mengawal syarikat dan menjejaskan peranannya sebagai CEO). Bagaimana anda terima bonus tanpa rasa malu?

Hazem: Itu keputusan lembaga pengarah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian membantah soalan yang dikemukakan pihak pembelaan, mengatakan ia tidak relevan dengan kes.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Shafee untuk mengehadkan soalan berkenaan perkara itu.

Hazem kemudian berkata yang sebagai CEO pada masa itu, dia hanya menjalankan tugas dan gaji serta bonus ditentukan lembaga pengarah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS