Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno sebulat suara sokong Ismail Sabri calon PM
Diterbitkan:  Aug 17, 2021 10:57 PM
Dikemaskini: 4:18 PM

Umno dikatakan mencapai kata sepakat untuk menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber Umno, persetujuan itu dicapai hasil pertemuan ahli-ahli parlimen parti itu di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Beberapa sumber - termasuk dari kem Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - memberitahu Ismail Sabri akan mendapat sokongan semua 38 ahli parlimen parti terbabit.

Katanya langkah itu diambil sebagai usaha mengelakkan perpecahan berlaku dalam Umno.

Semenara itu ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah, dalam hantaran di Facebook berkata, dengan sokongan tersebut ahli parlimen Bera itu dijangka akan memiliki sokongan 115 ahli parlimen.

Jika menjadi kenyataan, jumlah itu mencukupi untuk naib presiden Umno terbabit mendapat sokongan majoriti di parlimen.

Sementara itu Azalina Othman Said ketika ditanya mengenai keputusan itu mendapat persetujuan MKT Umno menjawab: "Ya". 

Sementara itu Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, berkata keutamaan baginya ialah kestabilan politik negara dan berharap keputusan yang akan dibuat Yang di-Pertuan Agong nanti dapat mewujudkan keadaan itu.

Hal itu kerana, katanya, negara perlu memberi tumpuan kepada isu yang lebih penting iaitu menangani pandemik Covid-19.

"Cukup-cukuplah berpolitik," katanya yang ditemui media selepas pertemuan dalam kalangan ahli parlimen Umno malam ini.

Selepas Agong membuat keputusan, katanya, semua pihak perlu memberi fokus kepada agenda negara dan bangsa.

"Kita tak boleh benarkan politik negara sebegini rupa selama-lamanya. Banyak kerja lain kita kena buat," katanya.

Lihat Komen
ADS