Dua laporan polis berasingan dibuat selepas DAP Selangor mengadakan demonstrasi di hadapan kediaman ala istana milik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang di Pandamaran, Pelabuhan Klang pagi semalam.

Menurut saksi, kira-kira 100 orang yang mengadakan demonstrasi itu, yang diketuai oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, didatangi sekumpulan kira-kira 20 lelaki berkaca mata hitam.

Dalam laporannya, Naib Pengerusi DAP Selangor, Selvadurai mendakwa, beliau telah ditumbuk oleh beberapa anggota kumpulan tersebut, yang dipercayai penyokong Zakaria.

Mereka juga dilihat memegang besi paip, tetapi Selvadurai tidak menyatakan secara khusus sama ada mereka menggunakannya terhadap dirinya.

Dalam satu lagi laporan, Pengerusi DAP cawangan Pasar Besar Klang, Peter Tan, mendakwa pembesar suara yang dipasang pada van milik parti itu telah dirosakkan. Van tersebut diletakkan dalam kawasan berkenaan.

Kedua-dua laporan tersebut dibuat di balai polis Pandamaran sejurus selepas kejadian itu.

Bantahan kedua

Ini merupakan demonstrasi kedua yang diadakan oleh DAP dalam tempoh beberapa hari lalu. Sabtu lalu, bantahan yang sama diadakan oleh Jawatankuasa Perhubungan DAP Klang yang diketuai oleh Adun Sungai Pinang, Teng Chang Kim.

Walaupun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, sekumpulan beberapa orang lelaki dilihat cuba mengganggu mereka yang menyertai demonstrasi tersebut.

Kekecohan pada pagi Ahad lalu tercetus selepas delegasi DAP Selangor yang turut disertai beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat, melaungkan slogan dan membawa kain rentang yang mengecam Zakaria.

Sejurus selepas itu, mereka didatangi kumpulan lelaki tersebut (foto) sehinga berlaku pertengkaran.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila Lim tiba di tempat itu dan mula berucap kepada hadirin. Kumpulan lelaki berkenaan mula menolak mereka, menyebabkan penyokong DAP membentuk pagar manusia di sekeliling Lim.

Bagaimanapun, mereka yang menyertai demonstrasi tersebut terpaksa beredar ke kawasan di luar pintu masuk Kampung Idaman lokasi kediaman mewan Zakaria itu dibina.

Sentimen perkauman

Naib Pengerusi PKR Selangor, Khairul Anuar Zainudin, yang turut berada di situ, mendakwa kata-kata berunsur perkauman dilemparkan oleh kumpulan lelaki berkenaan, kerana sebahagian besar mereka yang hadir adalah berketurunan Cina.

"Mereka memainkan sentimen perkauman. Mereka menjerit 'Cina balik!', 'Kalau kamu mahu Mei 13, saya hari ini boleh bagi kau'," kata Khairul ketika dihubungi.

Dua orang lagi saksi mengesahkan perkataan tersebut digunakan oleh kumpulan lelaki berkenaan yang dipercayai penyokong Zakaria.

Khairul mendakwa, beliau mendapat tahu, kumpulan lelaki tersebut bukan dari Kampung Idaman, yang merupakan sebuah perkampungan yang didiami oleh penduduk berpendapatan rendah pelbagai kaum.

Kedua-dua bantahan tersebut diadakan untuk mendesak supaya kediaman mewah Zakaria yang mempunyai 17 bilik itu, yang dibina tanpa mengikut undang-undang, dirobohkan.

Penduduk di kawasan itu dipercayai tidak senang hati dengan sikap pihak berkuasa yang mengamalkan dwi-standard, dengan merobohkan rumah setinggan tetapi kediaman Zakaria tidak disentuh langsung.

Kerajaan negeri memberi Zakaria tempoh sehingga 8 November ini untuk melepaskan jawatan ahli MPK secara secara rela. Berita asal