Dr Mahathir kebal, kata Muhd Taib
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata parti itu mungkin belum sampai ke peringkat untuk mengambil tindakan disiplin terhadap seorang bekas Perdana Menteri.
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata parti itu mungkin belum sampai ke peringkat untuk mengambil tindakan disiplin terhadap seorang bekas Perdana Menteri.
Katanya, ini kerana bekas Perdana Menteri ada semacam "imuniti".
Suatu masa dulu, bekas Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra turut membuat pelbagai kritikan terhadap Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kritikan Tunku ketika itu, tambah bekas Menteri Besar Selangor itu, termasuklah melalui tulisannya di akhbar.
Bagaimanapun, tiada tindakan disiplin diambil terhadap Tunku, kata Muhd Taib kepada Bernama.
Beliau diminta mengulas cadangan Pemuda Umno Kedah agar pucuk pimpinan parti mengambil tindakan menggantung keanggotaan Dr Mahathir dalam Umno kerana tindakannya yang terus mengkritik kerajaan.
Ketua Pemuda Umno Kedah Mohd Rawi Abdul Hamid dilaporkan berkata di Alor Star Ahad bahawa tindakan itu perlu diambil oleh Umno kerana kenyataan Dr Mahathir telah menimbulkan banyak kontroversi.
Dr Mahathir kembali mengkritik kerajaan, kurang daripada 24 jam selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Sri Perdana, Putrajaya, 22 Okt lepas.

