Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Himpunan #Lawan Sabtu ini dibatalkan susulan pengunduran Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 19, 2021 5:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Penganjur perhimpunan #Lawan membatalkan penganjuran demonstrasi bagi kali kedua yang dijadual Sabtu ini susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Isnin lalu.

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dalam kenyataannya menyifatkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai "kemenangan rakyat Malaysia".

"Turunnya Muhyiddin adalah satu kemenangan rakyat Malaysia yang mempertanggungjawabkan beliau ke atas gugurnya lebih 13,000 nyawa yang telah pergi akibat kegagalan kerajaan pimpinan beliau dalam mengekang Covid-19.

"Berpandukan situasi semasa dan peletakan jawatan oleh Muhyiddin, maka kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan untuk turun ke jalan pada 21 Ogos ini," kata SSR.

Namun, kumpulan itu berkata perjuangan #Lawan tidak akan terhenti bagi memastikan proses demokrasi serta semak dan imbang kepada kerajaan diteruskan.

"Perdana menteri yang akan dilantik perlu mempunyai fokus, idea, kemahuan dan keberanian untuk memastikan rakyat Malaysia dibela setelah sekian lama ditindas oleh kerajaan yang asyik berpolitik tetapi tidak mengendahkan kemahuan rakyat," tambahnya.

Mereka juga menuntut supaya keabsahan bakal perdana menteri yang baru dibuktikan melalui undi percaya di parlimen dan bukan sekadar menggunakan surat akuan.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan lebih banyak aksi jikalau kerajaan baru yang akan dibentuk gagal untuk melaksanakan tangungjawab memastikan negara ini aman daripada pandemik dan kemelut politik dangkal," kata mereka.

Pada 31 Julai lalu, ratusan peserta perhimpunan yang kebanyakannya berpakaian hitam berhimpun di sekitar Dataran Merdeka bagi menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan.

Mereka menyifatkan Muhyiddin dan kerajaan gagal menangani Covid-19 berikutan peningkatan kes jangkitan harian dan angka kematian akibat wabak itu.

Lihat Komen
ADS