Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dulu pun orang perlekeh, tak letak harapan pada Bersatu'
Diterbitkan:  Aug 20, 2021 10:27 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu, Razali Idris berkata parti itu akan terus bertahan pada PRU15 berdasarkan rekod dan apa yang telah dilakukannya sepanjang menjadi kerajaan.

Razali menjawab pandangan penganalisis politik yang bahawa Bersatu tidak akan lagi menjadi dominan dan justeru tiada masa depan cerah pada PRU akan datang.

Merujuk kepada artikel yang disiarkan Malaysiakini semalam, senator Bersatu menjelaskan parti itu tidak pernah menjadi parti dominan sebelum ini tetapi pada masa sama tetap mampu menubuhkan kerajaan.

“Bersatu tidak pernah dominan pun, tetapi kerana waktu dan masa serta kejadian politik yang berlaku, percaturan dan kemampuan menguruskan hal ehwal politik telah membawa kepada keupayaan Bersatu menubuhkan kerajaan PH dan Perikatan Nasional (PN) selepas memenangi kerusi-kerusi sewaktu PRU14 lalu.

“Malahan pada ketika itu, jawatan perdana menteri ketujuh dan perdana menteri kelapan datangnya dari Bersatu dan ada negeri-negeri yang diterajui parti Bersatu.

“Survival itu penting bagi menentukan perjalanan politik,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam laporan semalam, Jamaie Hamil dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat Bersatu tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam PRU15 dengan hubungannya dengan Umno akan terus terputus.


Baca: Bersatu tiada masa depan dalam PRU15 - Penganalisis politik


Membangkitkan 15 kerusi parlimen Bersatu kini adalah daripada mereka yang lompat daripada Umno, Jamaie berkata kebanyakannya akan dirampas kembali oleh Umno.

Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, berbanding Umno, Bersatu lebih mendapat tempias buruk daripada persepsi bahawa PN telah gagal mentadbir negara.

Bagaimapun, Razali berkata sudah banyak ramalan yang mengatakan kemerosotan parti politik sebelum ini meleset.

“Dulu pun ramai juga penganalisis meramalkan Umno BN akan hilang dari radar rakyat selepas tumbangnya mereka, pernah diramalkan PKR akan terus lenyap dalam peta politik dan juga pernah diramalkan MIC atau MCA akan terpisah dengan BN.

“Tidak dinafikan ada parti yang telah tamat atau penghujung jalan, tidak mengapa kerana itu adalah rencam perjuangan dalam politik,” katanya lagi.

Bagi Razali, khidmat Bersatu sepanjang menjadi kerajaan telah dirasai rakyat sebelum ini dan akan menjadi kekuatan parti itu untuk menghadapi PRU15.

“Biarlah rekod dan hasil kerja Bersatu menceritakan kepada rakyat.

“Dulu pun tiada sesiapa pun meletakkan harapan kepada Bersatu - memperlekehkan, mencerca dan memaki hamun sahaja kepada Bersatu ini.

“Namun kita tetap bersemangat dan teruskan kerja rakyat menerusi Bersatu sejak awal penubuhan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS