Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ismail Sabri angkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9
Diterbitkan:  Aug 21, 2021 2:35 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan.

Ismail mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada pukul 2.29 petang.

Acara itu disiarkan secara langsung di saluran televisyen serta laman Facebook Pejabat Perdana Menteri.

Ahli parlimen Bera itu merupakan perdana menteri pertama yang tidak menjadi ketua atau timbalan ketua parti politik.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada masa ini berdepan perbicaraan rasuah di mahkamah, manakala timbalannya Mohamad Hasan bukan ahli parlimen.

Ismail yang merupakan naib presiden Umno menggantikan Muhyiddin Yassin - presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin letak jawatan setelah hilang majoriti apabila 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaannya, yang merangkumi PN (Bersatu, PAS, STAR, SAPP, Gerakan), BN (Umno, MCA, MIC, PBRS), GPS (PBB, PRS, PDP SUPP), PBS dan ahli parlimen bebas.

Bagaimanapun, 14 daripada 15 ahli parlimen tersebut telah kembali menyokong PN setelah dipersetujui Ismail akan menggantikan Muhyiddin.

Ismail, 61, merupakan timbalan perdana menteri dalam kabinet Muhyiddin.

Sebelum ini, Ismail memegang pelbagai portfolio dalam kabinet berbeza, termasuk sebagai menteri belia dan sukan, menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, dan menteri pertahanan merangkap menteri kanan.

Acara angkat sumphah hari ini turut dihadiri pemimpin parti politik yang menyokongnya, selain pegawai tertinggi kerajaan.

Antara yang hadir termasuk Zahid, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden MIC M Saravanan, Pengerusi GPS dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, serta Arthur Joseph Kurup dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Lihat Komen
ADS