Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas buat laporan terhadap polis, peguam dan peserta nyalaan lilin disoal siasat

Polis telah memanggil 12 individu, termasuk tiga peguam, untuk siasatan lanjut berkaitan dengan acara nyalaan lilin yang diadakan di Dataran Merdeka pada Khamis malam lalu.

Difahamkan, peserta nyalaan lilin dan peguam dipanggil semalam untuk disoal siasat berhubung dengan laporan yang dibuat terhadap polis.

Ketika dihubungi, peguam Rajsurian Pillai mengesahkan bahawa dia dipanggil bersama peguam Farida Mohamad oleh polis Dang Wangi dari jam 6 petang hingga sekitar 8.30 malam semalam untuk dirakam keterangan mereka.

"Saya disiasat atas peranan saya dalam mewakili mereka yang ditahan.

"Orang ramai meminta polis untuk menyiasat polis, tapi polis pergi soal siasat peguam," kata Rajsurian, yang mewakili anggota Sekretariat Solidariti Rakyat yang sebelumnya disoal siasat berkaitan dengan tunjuk perasaan #KeluarLawan di Kuala Lumpur pada 31 Julai.

"Peserta yang ditahan sebelum ini sentiasa bekerjasama dengan semua siasatan oleh polis Dang Wangi atau yang lain," tambahnya.

Melalui ciapan di Twitter, peguam Goh Cia Yee juga mengatakan bahawa dia dimaklumkan bahawa kenyataannya mungkin akan diambil oleh polis tidak lama lagi.

Rajsurian, Farida dan Goh adalah tiga peguam yang diberikan akses kepada 31 peserta acara nyalaan lilin yang ditangkap dan dibvawa ke Dang Wangi pada Khamis malam lalu setelah polis menghentikan acara itu.

Acara itu diadakan untuk mengenang mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Sekumpulan peguam dalam jumlah yang lebih besar dibiarkan menunggu di luar balai polis Dang Wangi dan tidak dapat menemui anak guam mereka.

Peserta nyalaan lilin dan anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia, Chong Yee Shan membuat laporan polis pada Jumaat lalu mengenai kecederaan fizikal yang didakwa dialaminya ketika ditahan lima anggota polis.

Sementara itu, Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair berkata, 16 peserta lain, termasuk dirinya, membuat laporan polis masing-masing semalam, yang menuduh penangkapan oleh polis tidak mengikut prosedur, penafian hak dan penahanan yang tidak sah.

"Kami membuat laporan serupa. Laporan kami mungkin berbeza berdasarkan pengalaman individu, tetapi intipatinya sama," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut laporan Nalina yang dilihat oleh Malaysiakini, dia hanya diberitahu secara rasmi mengenai penangkapannya sekitar jam 12.30 pagi pada hari Jumaat, lebih dari tiga jam setelah dibawa ke balai polis Dang Wangi.

"Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah kerana hak-hak saya sebagai seorang yang ditangkap seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah telah dinafikan oleh pihak polis kerana saya tidak dimaklumkan tentang alasan-alasan tangkapan saya sehingga pukul 12:30 malam iaitu hampir 3 jam setengah selepas saya ditangkap dan saya hanya dimaklumkan selepas rakaman percakapan saya di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah telah direkodkan. 

"Saya tidak diberikan apa-apa alasan apabila saya dibawa ke IPD Dang Wangi dan saya tidak dimaklumkan tentang hak saya untuk berhubung dengan ahli keluarga saya," tambah Nalina.

Dalam laporannya, dia juga mengatakan bahawa polis telah membahayakan keselamatan mereka dengan memaksa peserta acara itu menaiki dua Black Maria secara berasingan, satu untuk 14 peserta wanita dan satu lagi untuk 17 peserta lelaki.

Katanya, polis menggunakan kekerasan meskipun para peserta bersedia untuk bekerjasama dengan berjanji untuk tampil di ibu pejabat polisi daerah dengan syarat mereka sendiri untuk tujuan dokumentasi, seperti yang diberitahu oleh anggota polis.

Semua 31 peserta dibebaskan setelah dikenakan dengan kompaun RM2,000 - berjumlah RM62,000 - kerana melanggar peraturan berkaitan demonstrasi semasa pandemik Covid-19.

Lihat Komen
ADS