Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM umum bantuan RM5,000 pada keluarga korban banjir di Yan

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob hari ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM75 juta bagi membantu kerajaan negeri Kedah memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok yang rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas.

Beliau berkata peruntukan itu termasuk RM50 juta menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air yang antara lain untuk menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer fasa satu daerah berkenaan melibatkan kos sebanyak RM5 juta.

Daripada peruntukan RM50 juta itu katanya, juga melibatkan kerja membina dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta, pembinaan intake loji rawatan air di Gurun dan Tupah (RM2 juta), pembinaan Empangan Sabo fasa satu (RM20 juta) serta kerja pembaikan kemudahan pelancongan desa dan kerja baik pulih bekalan air.

 “Pada masa sama menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kerajaan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terkesan dengan bencana ini.

“Sebanyak RM5,000 juga akan diberikan kepada keluarga yang kehilangan waris dalam kejadian ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan terjejas banjir akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Ismail Sabri berkata bantuan RM75 juta itu tidak termasuk peruntukan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebanyak RM3 juta yang akan disalurkan untuk membantu membaik pulih rumah penduduk yang rosak di kedua-dua daerah tersebut.

Beliau berkata bantuan berkenaan akan disalurkan secara terus kepada keluarga yang terlibat.

“Saya berharap dengan peruntukan yang diberikan kepada kerajaan negeri Kedah ini akan dapat membantu selesaikan isu yang timbul akibat limpahan air dari Gunung Jerai ini.

“Semua bantuan ini kita akan salurkan segera supaya tidak timbul isu terutamanya melibatkan kemudahan infrastruktur di dua daerah ini,” katanya.

Beliau berkata peruntukan yang diberikan itu adalah berdasarkan penilaian awal yang dilakukan oleh kerajaan negeri di kawasan terlibat dan peruntukan tambahan akan diumumkan oleh Menteri Besar Kedah jika terdapat keperluan lain.

Terdahulu Ismail Sabri diberikan taklimat oleh Muhammad Sanusi berkenaan tragedi itu yang meragut enam nyawa dan menjejaskan lebih 1,000 rumah penduduk di dua daerah berkenaan.

Perdana menteri turut meluangkan masa hampir satu jam meninjau kawasan yang terjejas teruk di sekitar Titi Hayun, di Yan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS