Sebuah syarikat pengeluar air minuman telah menyaman Syarikat Mawi World Sdn Bhd sebanyak RM1 juta kerana didakwa melanggar hak harta inteleks dengan menggunakan maklumat milik syarikat tersebut pada botol air minumannya.

Syarikat Mawi World Sdn Bhd memasarkan minuman mineral berbotol yang menggunakan gambar penyanyi popular Mawi yang merupakan juara Akademi Fantasia 3 atau nama sebenarnya Asmawi Ani.

Yassa Sdn Bhd memfailkan saman tersebut melalui peguam mereka Tetuan Abdul Aziz & di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang, Jalan Raja di Kuala Lumpur hari ini. Writ saman itu belum lagi diserahkan kepada defendan.

Mengikut pernyataan tuntutan, Yassa mendakwa Mawi World telah menggunakan kandungan maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman dibotolkan pada botol minuman itu tanpa memperolehi kebenaran syarikat itu.

Menurut laporan Bernama, Yassa mendakwa salah seorang pengarah syarikatnya mendapati ada air mineral jenama Mawi World dijual dengan menggunakan kandungan maklumat yang sama seperti yang digunakan oleh Yassa ketika beliau membeli-belah di sebuah pasar raya di Subang Jaya.

Yassa mendakwa pihaknya telah membuat satu laporan polis pada 2 Oktober lalu di Balai Polis Seremban kerana syarikat Mawi World di mana Mawi adalah salah seorang pengarahnya telah menggunakan maklumat atau harta intelek milik Yassa tanpa kebenarannya.

Syarikat itu mendakwa pada tarikh yang sama, berita mengenai majlis pelancaran minuman tersebut telah disiarkan di beberapa akhbar tempatan yang menunjukkan Mawi World membuat promosi besar-besaran bagi penjualan minuman tersebut.

Tuntut gantirugi

Yassa mendakwa defendan gagal, enggan atau tidak mengambil berat permintaan syarikat itu untuk menghentikan serta-merta penggunaan hak harta intelektual milik syarikat itu.

Yassa mendakwa melalui satu mesyuarat antaranya dan Mawi World, defendan telah mengaku tidak memperolehi sebarang kebenaran daripada Yassa sebaliknya mendakwa mendapat minuman itu daripada sebuah syarikat lain.

Syarikat itu mendakwa pihaknya melalui peguamcaranya telah mengeluarkan satu notis menuntut gantirugi RM1 juta daripada Mawi World serta menghentikan menggunakan harta intelek syarikat itu.

Yassa mendakwa kedua-dua pihak (Yassa dan Mawi World) telah membincangkan mengenai bayaran gantirugi dalam satu lagi perundingan pada 15 Oktober lalu, dan mendakwa walaupun Mawi World bersetuju untuk memberi pampasan kepadanya tetapi jumlah gantirugi yang hendak diberikan oleh defendan itu, tidak dipersetujuinya.

Akibat tindakan defendan, Yassa berkata ia mengalami kerugian hasil pendapatan.

Yassa juga mendakwa tindakan defendan menggunakan harta intelek syarikatnya itu akan menyebabkan lesen perniagaannya terjejas sekiranya pengguna mengalami keracunan atau kerugian daripada minuman itu.

Yassa menuntut gantirugi am RM1 juta, gantirugi teladan, faedah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.