Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedar dirinya semakin tidak popular dan sebab itulah beliau boleh diperlakukan apa sahaja.

"Hari ini sepatutnya saya menghadiri satu majlis anjuran Perkida (Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah SeMalaysia) di Johor, manakala pada 3 November ini menghadiri majlis anjuran pertubuhan bukan kerajaan di Baling. Tetapi kedua-dua majlis itu telah dibatalkan dan itu menunjukkan saya semakin tidak popular," katanya.

Dr Mahathir juga berkata, beliau juga menerima apa sahaja keputusan kerajaan berhubung kedudukannya sebagai penasihat beberapa agensi kerajaan dan keahliannya dalam Umno.

Tegasnya, beliau juga akan akur sekiranya kerajaan mahu menamatkan perkhidmatannya sebagai penasihat beberapa agensi seperti Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

"Saya juga akan akur sekiranya Majlis Tertinggi Umno mahu menggantung keahlian saya," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke beberapa projek pembangunan di Langkawi hari ini.

'Hak parti'

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir beliau ada mendengar cadangan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya ditamatkan perkhidmatannya sebagai penasihat serta cadangan Pemuda Umno Kedah supaya keahliannya dalam Umno digantung.

"Saya tidak akan membantah, saya akur kerana itu semua adalah hak mereka selaku kerajaan dan parti," katanya.

Ditanya adakah cadangan tindakan itu adalah usaha untuk meminggirkan beliau, Dr Mahathir sekadar mengulangi "itu hak mereka".

Dr Mahathir juga sekadar menjawab "sedang berfikir" terhadap soalan sama ada beliau akan menghadiri perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur pertengahan bulan ini.

Beliau juga berkata "sedang mempertimbangkan dengan mendalam" mengenai cadangan Umno Bahagian Kubang Pasu supaya beliau tidak terlalu kritikal terhadap kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Abdullah Ahmad Badawi.