• Dikemas kini dengan tambahan kenyataan Amanah Selangor yang antaranya mahukan perkongsian data Covid-19 dibuat.

PAS menyifatkan pertemuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai satu dimensi baru politik negara.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar Ahli-ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati berusaha menangani Covid-19.

"PAS berharap budaya politik matang yang mengutamakan kesejahteraan negara menjadi dimensi baharu bagi setiap bentuk sikap, pemikiran dan tindakan yang diterjemahkan oleh ahli-ahli politik.

"Jadilah pemimpin yang menjadi tauladan kepada seluruh rakyat jelata," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man 

Malaysiakini semalam melaporkan ketua pembangkang yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri.

Turut serta dalam pertemuan itu Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pertemuan itu antara lain menyatakan persetujuan mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, pendekatan PAS melalui budaya politik matang sejahtera (BPMS) melihat suasana semak dan imbang yang diperanankan oleh pembangkang merupakan suatu budaya politik yang mesti diperkasakan.

"Segala tindakan kerajaan yang baik untuk negara didukung manakala yang salah diperbetulkan.

"Budaya berpolitik yang mengutamakan perdamaian boleh diterjemahkan dengan penuh professional secara berdiplomasi dengan pihak berkaitan bagi menangani sesuatu isu rakyat dan negara," jelasnya.

Mulakan di Selangor, kongsi data Covid-19 dulu - Amanah

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, pertemuan itu serta kenyataan bersama yang dikeluarkan adalah sesuatu yang positif ke arah politik matang aras tinggi dan rekonsiliasi menuju pemulihan nasional.

Katanya, pemulihan nasional dimaksudkan sudah tentu adalah dalam aspek politik, kesihatan dan ekonomi negara.

"Bagaimanapun, pemulihan nasional ini harus ada permulaannya atau asas yang boleh dijadikan sebagai launch pad.

"Oleh itu saya mengusulkan supaya negeri Selangor dijadikan sebagai launch pad bagi melancarkan pemulihan nasional tersebut memandangkan Selangor adalah mini Malaysia dan penyumbang 20 peratus kepada ekonomi negara," katanya.

Dia justeru berkata kerajaan harus memastikan angka-angka kes Covid-19 di Selangor adalah tepat dan tidak dipolitikkan.

Selain itu kata Wan Anwar, kerajaan perlu melakukan intervensi dan sinergi bersama kerajaan negeri dalam menangani pandemik di negeri itu termasuk perkongsian data dan maklumat serta peningkatan kapasiti dan fasiliti kesihatan awam

'Mengambil pengalaman dan model Selangor terutamanya dalam aspek pengesanan kontak, saringan, vaksinasi dan inisiatif bantuan kepada rakyat untuk diguna pakai di negeri-negeri lain.

Habis