Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Pembangkang patut ganti tempat saya sebagai timbalan speaker’

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Azalina Othman Said berkata kerusi timbalan speaker yang dikosongkannya patut diisi oleh anggota parlimen pembangkang.

Katanya, langkah itu akan menjadi pelung terbaik untuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meneruskan agenda reformasi parlimen.

“...patut digantikan oleh anggota parlimen pembangkang, tetapi usulnya harus datang daripada kerajaan.

“Jika usulnya daripada pembangkang, akan ada satu pusingan lagi untuk undi tidak percaya. Gaduh, gaduh, gaduh,” katanya.

“Inilah peluang terbaik untuk perdana menteri… untuk menghulurkan tangan memulakan.

“Sebab macam yang saya cakap berkenaan masa untuk pembaruan… pembaharuan ini memakan masa, ia takkan berlaku dalam sehari persidangan, kerana ada banyak rundingan dengan pemegang taruh.

“Tapi ini adalah sesuatu yang boleh dicapai,” katanya dalam satu webinar berkenaan agenda pembaharuan parlimen pagi tadi.

Pada Isnin, Azalina mengesahkan telah meletakkan jawatan selaku timbalan speaker Dewan Rakyat yang disandangnya sejak tahun lepas, atas beberapa sebab.

Bekas menteri undang-undang itu turut berkata langkah kerajaan - melantik timbalan speaker daripada pembangkang - akan mencipta sejarah dalam amalan demokrasi berparlimen negara.

“Jika kerajaan buat begitu, dan jika ia disokong sebulat suara, saya fikir (ia) akan menjadi sesuatu yang menakjubkan dalam sejarah parlimen kita.

“Kerana kita sedang menunjukkan isyarat yang kita mahu parlimen kita menjadi satu platform yang profesional,” tambah Azalina. 

Semalam, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim bersama dua lagi pemimpin blok pembangkang daripada PH. Mereka bersetuju untuk memperkasa fungsi parlimen.

Bagaimanapun, ada pihak dikatakan tidak senang dengan perkembangan itu, termasuk sambutan baik diberikan pembangkang terhadap perdana menteri baru itu.

Menjawab soalan penonton webinar, Azalina menegaskan betapa penting untuk semua ahli politik melakukan “gencatan politik” pada peringkat ini.

“Jika kita serius tentang jalan pemulihan, kita semua mesti berganding bahu dan melakukan gencatan politik demi negara ini,” katanya.

Azalina berkata ahli-ahli parlimen daripada belah berbeza tidak boleh sentiasa bersikap bermusuhan antara satu sama lain, termasuklah di Dewan Rakyat.

'Biar MP bercakap tak berhenti'

Sementara itu, bercakap mengenai pengalamannya sebagai timbalan speaker, Azalina berkata dia berharap ahli parlimen dibenarkan berbahas tanpa had masa.

“Kalau ikutkan saya, saya nak benarkan semua ahli parlimen bercakap, dari malam sampai subuh, dari subuh sampai malam.

“Saya akan buat. Saya akan benarkan mereka bercakap tak berhenti, kerana saya nak benarkan semua orang mempunyai kesempatan untuk mewakili kawasan mereka. 

Katanya,  sidang parlimen di negara ini amat singkat, sedangkan banyak isu hendak dibangkitkan oleh ahli parlimen.

Semasa webinar itu, Azalina turut mengemukakan cadangan untuk agenda pembaharuan parlimen.

Antaranya dia mencadangkan agar speaker dilantik menerusi proses undian di Dewan Rakyat, memperkasa kapasiti parlimen termasuk peruntukan belanjawan sendiri; dan usul undi percaya diberikan keutamaan berbanding urusan kerajaan. 

Lihat Komen
ADS