Ekuiti pemilikan bumiputera dalam DEB dicapai 10 tahun lalu
Ekslusif Kajian yang dijalankan di sebuah universiti tempatan mendapati ekuiti 30 peratus pemilikan bumiputera yang disasarkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dicapai kira-kira satu dekad yang lalu.
Ekslusif Kajian yang dijalankan di sebuah universiti tempatan mendapati ekuiti 30 peratus pemilikan bumiputera yang disasarkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dicapai kira-kira satu dekad yang lalu.
Kajian tersebut yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr M Fazilah Abdul Samad, dibuat berasaskan kepada analisa 10 tahun pemilikan ekuiti bumiputera, antara 1988 hingga 1987 dalam syarikat awam yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang kini dikenali sebagai Bursa Malaysia.
Kajian itu mendapati sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera itu dicapai pada tahun 1997 apabila ia mencecah tahap 33.7 peratus.
Menurut kajian itu yang dijalankan pada tahun 2002 angka 33.7 peratus itu terdiri daripada pemilikan ekuiti korporat bumiputera (30.6 peratus) iaitu ekuiti yang dimiliki syarikat bumiputera dan pemilikan saham individu bumiputera (3.1 peratus).
Bakinya dimiliki oleh 'lain-lain' (32 peratus), di bawah pemilikan asing (24.9 peratus) dan pemilikan yang dipegang oleh kerajaan (9.5 kerajaan).
Bagaimanapun, kategori 'lain-lain' itu bukan sahaja terdiri daripada pemilikan bukan bumiputera tetapi juga pemilikan syarikat nominee. Fungsi utama sebuah syarikat nominee ialah untuk memegang saham atau sekuriti bagi pihak orang lain.
Ramai pakar ekonomi yang boleh berhujah bahawa syarikat nominee bukan semata-mata di bawah pemilikan bukan bumiputera sahaja kerana sebahagiannya turut dimiliki oleh bumiputera.
Kajian Dr Fazilah
Kajian tersebut dimasukkan ke dalam laporan 107 muka surat yang bertajuk "Bumiputera di sektor korporat: Prestasi tiga dekad 1970-2000' dan diterbitkan empat tahun lalu.
Dr M Fazilah berkata, hasil kajiannya pada 1988, mendapati pemilikan ekuiti korporate bumiputera masih jauh daripada sasaran DEB.
Saham bumiputera ketika itu adalah 12 peratus, di mana 11 peratus daripadanya di bawah pemilikan ekuiti korporat bumiputera manakala satu peratus di bawah pemilikan saham individu bumiputera.
Manakala pemilikan asing ketika itu adalah 27 peratus manakala bukan bumiputera termasuk syarikat nominee secara bersama memiliki lebih separuh daripada modal dibayar syarikat awam yang disenaraikan.
"Namun begitu, peratusan ekuiti korporat yang dimiliki bumiputera berubah-ubah antara 16 peratus pada 1999 kepada 22 peratus pada 1995 dan mencapai sasaran DEB pada 1997," katanya.
Dr Fazilah adalah Ketua Jabatan Kewangan dan Pembankan di Fakulti Perakaunan dan Perniagaan UM.
Kajiannya itu dibuat atas permintaan Unit Kajian Bebas, Pusat Pembangunan Ekonomi dan Hubungan Kaum, UM, yang turut menerbitkannya laporan tersebut.
Pertumbuhan menggalakkan
Dr Fazilah juga mendapati pemilikan korporat bumiputera juga menikmati kadar pertumbuhan tahunan yang tinggi 27.9 peratus antara tahun 1988 hingga 1997 berbanding dengan bukan bumiputera.
Kadar pertumbuhan tahunan keseluruhan pasaran ialah 15.6 peratus dengan pemilikan asing sebanyak 18.2 peratus, kerajaan (16.7 peratus) dan bukan bumiputera dan syarikat nominee (11.8 peratus).
Menurut kajian tersebut, kadar pertumbuhan tahunan yang menggalakkan itu adalah disebabkan oleh kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi sewaktu ledakan ekonomi selepas tahun 1990.
Program pengswastaan kerajaan, yang dilaksanakan secara aktif selepas 1987, juga telah memberi anjakan tambahan kepada usahawan bumiputera.
Memandangkan analisa 10 tahun pemilikan ekuiti bumiputera itu tidak meliputi tempoh selepas krisis kewangan Asia pada 1997, maka tidak diketahui kesannya terhadap pemilikian ekuiti korporat selepas kajian Dr Fazilah itu.
Namun begitu, katanya, berdasarkan kepada pulangan stok bulanan selepas krisis kewangan itu, ia menunjukkan bahawa "...syarikat yang dikuasai bumiputera juga teruk terjejas sebagaimana yang lainnya di pasaran".
Oleh itu, hujahnya, tidak bantuan yang diberikan oleh kerajaan bagi mengurang kesannya, mungkin kerana kerajaan lebih mengambil berat survival ekonomi secara keseluruhannya.
Enggan mengulas
Dr Fazilah, ketika dihubungi malaysiakini, enggan mengulas mengenai hasil kajiannya itu.
Beliau juga enggan menjawab soalan berhubung isu pemilikan ekuiti korporat bumiputera, dengan alasan, sebagai seorang kakitangan universiti, beliau perlu mematuhi 'Akujanji' dengan pihak universiti.
Di bawah'Akujanji' itu, kakitangan akademik dilarang membuat kenyataan media tanpa kelulusan pihak berkuasa universiti.
Kerajaan pula mempertahankan bahawa sasaran pemilikan ekuiti 30 peratus itu masih belum tercapai.
Angka peratusan itu, mengikut perkiraan Unit Perancang Ekonomi (EPU), adalah berasaskan kepada nilai tara saham 600,000 syarikat yang berdaftar.
Para pengkritik pula mendakwa, kerajaan telah menganggar-kurang ekuiti korporat saham bumiputera pada tahap 18.9 peratus untuk menjustifikasi penerusan DEB dan dasar-dasar berkaitan yang memberi layanan istimewa kepada bumiputera.
Para akademik pula mempersoalkan metodologi yang digunakan oleh kerajaan kerana ia diasaskan kepada nilai tara dan bukannya nilai pasaran saham syarikat yang pada umumnya dianggap lebih tepat untuk mengukur kekayaan.
Yang lebih menariknya ialah hasil kajian ekuiti UM itu dibuat berasaskan kepada nilai tara syarikat-syarikat yang tersenarai di KLSE, dan bukannya nilai pasaran mereka.
Kajian Asli
Sebelum ini, kajian yang dijalankan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) menganggarkan pemilikan ekuiti bumiputera adalah kira-kira 45 peratus hampir dua kali ganda angka peratus kerajaan.
Bagaimanapun, pihak kerajaan telah menafikannya dan menegaskan bahawa metodologi yang digunakan oleh Asli itu adalah tidak tepat kerana ia diasaskan kepada nilai pasaran saham syarikat.
Menurut kajian Asli itu, pihak kerajaan turut menyumbangkan 70 peratus melalui pemilikan syarikat berkaitn kerajaan (GLC) kepada bumiputera.
Sebaliknya kerajaan pula berkata, perkiraannya dibuat berasaskan kepada nilai tara saham membabitkan 600,000 syarikat berdaftar dan ini tidak termasuk GLC sebagai pemilikan bumiputera.
Kerajaan juga berkata pihaknya bersedia untuk mendedahkan metodologi yang digunakannya, tetapi sehingga ini tiada perkembangan terbaru mengenainya.
DEB telah digubal pada 1970 sebagai sebahagian daripada rangka tindakan untuk mengurangkan jurang pendapatan antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Dasar tersebut adalah untuk dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun sehingga 1990 tetapi selepas itu ia diteruskan di bawah nama baru Dasar Pembangunan Baru.
Kerajaan juga mengumumkan baru-baru ini bahawa matlamat dalam DEB itu akan kekal selama 15 tahun lagi sehingga 2020. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.