Umno Pulau Pinang gesa MT hukum Dr M
Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang berkata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya dibiarkan bebas daripada sebarang tindakan kerana secara terang-terangan telah melanggar etika Umno.
Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang berkata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya dibiarkan bebas daripada sebarang tindakan kerana secara terang-terangan telah melanggar etika Umno.
Sehubungan itu, badan tersebut menggesa Majlis Tertinggi Umno supaya menimbang tindakan disiplin terhadap bekas presiden Umno itu supaya ia menjadi pengajaran kepada semua ahli dan bekas pemimpin parti.
Timbalan pengerusinya, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata Dr Mahathir, yang kini ahli biasa parti, harus dikenakan tindakan kerana menghina parti apabila mengkritik kepimpinan presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Dr Mahathir telah melampui batasan sebagai seorang ahli Umno apabila membuat pelbagai kritikan sehingga menjejaskan nama baik presiden dan parti dengan membuat pelbagai dakwaan seolah-olah Umno dan kerajaan sekarang dipimpin oleh seorang yang tidak jujur dan tidak amanah," katanya kepada Bernama.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, berdasarkan perlembagaan parti, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana ahli Umno jika melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan nama baik parti dan Dr Mahathir telah mengkritik kepimpinan parti dan kerajaan secara terbuka menerusi media massa.
Jadi pengajaran
Beliau berkata, Dr Mahathir tidak seharusnya dibiarkan bebas daripada sebarang tindakan dan MT harus mempertimbangkan tindakan disiplin terhadap beliau supaya ia menjadi pengajaran kepada semua ahli dan bekas pemimpin parti.
Abdul Rashid yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata jika zaman kepimpinan Dr Mahathir, mana-mana ahli yang membuat kritikan seumpama itu sudah tentu akan dikenakan tindakan disiplin, dan tindakan yang sama harus diambil terhadap Dr Mahathir sekarang.
Menurutnya, Dr Mahathir sering mendakwa beliau menerima maklum balas bahawa rakyat tidak lagi menyokong Abdullah tetapi Dr Mahathir sendiri harus mengetahui bahawa rakyat sebenarnya tidak lagi menyokong beliau kerana tindakannya sejak kebelakangan ini.
Bekas presiden itu juga harus menjawab beberapa kenyataan balas Perdana Menteri terutamanya berkaitan projek yang diperolehi anak-anak Dr Mahathir sendiri dan bukannya terus membangkitkan soalan-soalan yang sama bagi mengelirukan rakyat kerana rakyat juga ingin tahu jawapan Dr Mahathir, katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.