Adun: Isu pokok kelapa plastik contoh pembaziran
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Perak, Ngeh Koo Ham berkata isu pokok kelapa plastik merupakan satu contoh ketidakcekapan dan pembaziran wang rakyat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Perak, Ngeh Koo Ham berkata isu pokok kelapa plastik merupakan satu contoh ketidakcekapan dan pembaziran wang rakyat.
Ekoran beberapa aduan pihak awam mengenai isu tersebut, beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan membangkitkannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pada 20 November depan.
Ngeh menyifatkan pembelian dan pemasangan enam pokok kelapa plastik yang berharga RM90,000 oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai satu langkah untuk'menunjuk-nunjuk' yang akhirnya membazirkan wang pembayar cukai.
Projek pengindahan bandaraya Ipoh dan kawasan lain di Perak telah mengakibatkan pembaziran "berjuta-juta ringgit' kerana kesilapan pembelian dan akibat kelalaian, kata Ngeh.
Pemimpin DAP, M Kula Segaran dilaporkan
mengecam
pembaziran wang yang dibelanja untuk membeli pokok kelapa plastik, daripada menggunakan pokok hidup.
Selain itu, kata Ngeh, pokok kelapa plastik itu yang setiap satu berharga RM15,000 termasuk lampu hiasan di waktu malam, akan dibuang selepas tempoh empat tahun kerana kurang penyelenggaraan.
Banyak lagi projek
"Kes pokok plastik ini hanya sebahagian kecil sahaja. Terdapat banyak lagi projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, tetapi hanya membazir sahaja, umpama lampin pakai-buang, kerana tiada penjagaan," tambah Ngeh yangjuga Ketua Pemuda DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Sitiawan.
Beberapa lagi projek pembangunan dan kemasyarakat di Perak, seperti pembinaan pusat-pusat komersial dan taman mainan, sama ada tidak digunakan atau menghadapi kemungkinan membazir begitu sahaja kerana kurang penjagaan, tambah Ngeh.
"Lebih teruk lagi, beberapa taman mainan tidak dibaiki atau diselenggara, tetapi sebaliknya ianya dibuang begitu sahaja oleh pihak berkuasa tempatan dan digantikan dengan yang baru.
"Sekiranya peralatan itu dijaga dengan baik, ia boleh tahan sehingga sepuluh tahun atau lebih," katanya.
Sebagai contohnya, kata Ngeh, dalam projek Pinggir Pantai Lumut di Manjung yang mengandungi tiga bangunan yang bernilai RM28 juta, hanya satu bangunan sahaja yang ada penyewa dan dikunjungi pelawat.
Walaupun bangunan lain masih kosong, tetapi, kata Ngeh, pembinaan bangunan baru sedang dijalankan.
Bangunan kosong itu, katanya, bukan sahaja bakal rosak, tetapi ia terdedah kepada anasir-anasir tidak diingini seperti penagih dadah.
Ngeh berkata, beliau akan membangkitkan isu-isu tersebut dalam sidang DUN November ini.
Kurang penjagaan
Ketika dihubungi, Pengerusi PAC Perak, Ahmad Jaafar berkata beliau bersetuju dengan timbalannya bahawa projek pemasangan pokok kelapa plastik itu adalah satu contoh pembaziran.
Bagaimanapun, katanya, punca kurangnya penjagaan projek-projek awam adalah disebabkan oleh kelembapan kakitangan perkhidmatan dan karenah birokrasi, dan bukannya kesilapan keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri.
Pembaziran seumpama itu tidak boleh dibiarkan berterusan tetapi perlu ditangani secara serius, kata Ahmad yang juga Adun Barisan Nasional bagi kawasan Bukit Chandan.
"Walaupun saya tidak bersetuju dengan semua yang diperkatakan oleh Ngeh, tetapi mengenai perkara ini, saya agak bersetuju dengan beliau. Mana boleh kita menutup mata terhadap contoh (ketidakcekapan) yang begitu ketara, kita mesti melakukannya dengan sempurna," kata Ahmad. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.