Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa kerajaan menjelaskan beberapa persoalan berkenaan laporan dakwaan ada individu dan organisasi luar memberi bantuan dan sokongan moral kepada ahli politik di Malaysia.

Presiden Patriot Mohd Arshad Raji berkata, persoalan itu termasuklah sebarang risiko terhadap keselamatan negara, perincian berkenaan aset dan wang tunai, pihak yang terlibat, serta sama ada dakwaan perhubungan itu adalah arahan daripada parti atau bukan.

"Ahli Patriot kekal komited dengan patriotisme dan keharmonian negara kerana ini adalah tonggak utama dalam misi dan perkhidmatan kita.

"Ada unsur keselamatan negara yang serius (dalam dakwaan itu), termasuk kebimbangan berkenaan kedaulatan negara, yang perlu dijaga oleh setiap warga pada setiap masa.

"Patriot menggesa semua agensi keselamatan negara untuk bekerjasama dalam menangani perkara ini," katanya dalam kenyataan.

Arshad juga mengggesa Cawangan Khas (SB) PDRM untuk menyiasat dakwaan itu, yang menurutnya mempunyai unsur yang berisiko mengancam keselamatan negara.

Semalam, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail membuat dakwaan tersebut yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan sebarang nama secara khusus.

"Kita tiada bukti bahawa bantuan itu diserah secara terus tetapi maklumat yang kita terima, beberapa organisasi di AS, contohnya ada memainkan peranan.

"Kita dapat maklumat sesetengah pemimpin dalam negara ini, sangat diminati untuk meneruskan kedudukan dan kekuatan mereka dalam politik. Mereka juga diberi sokongan secara moral," katanya seperti dipetik.

Mohd Salleh juga berkata perisikan tentera ada maklumat lengkap seperti tarikh dan lokasi pertemuan serta ahli politik yang bertemu dengan pihak asing ketika di luar negara.

"Tapi kita tak tahu apa yang dibincangkan. Tapi memang ada perjumpaan dengan beberapa orang yang mendapat sokongan secara moralnya dari luar negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Arshad berkata sebagai veteran yang dulu berkhidmat dalam pasukan keselamatan, pihaknya sedar ada ahli politik yang berhubung dengan kakitangan kedutaan luar, sementara pihak perisikan tentera mengekalkan hubungan dengan tentera luar negara atas dasar perkongsian maklumat.

"Tetapi apa yang di luar kebiasaan adalah dakwaan (Mohd Salleh) bahawa ada ahli politik menerima dana tunai, aset fizikal dan sokongan moral daripada pihak luar yang tidak dinamakan.

"Apabila tawaran sebegitu diberikan kepada ahli politik, dan lebih-lebih lagi secara kerap, ada sebab untuk mempersoal jika ada sesuatu yang tidak betul berlaku antara ahli politik dan pihak luar itu," katanya lagi.