Mahasiswa anjur bantahan monopoli Tiong
Ratusan mahasiswa dari universiti awam dijangka mengadakan bantahan di tiga pejabat akhbar Sin Chew Daily di seluruh Malaysia malam esok.
Ratusan mahasiswa dari universiti awam dijangka mengadakan bantahan di tiga pejabat akhbar Sin Chew Daily di seluruh Malaysia malam esok.
Bantahan itu dijadual diadakan secara serentak itu di ibupejabat Sin Chew di Petaling Jaya dan pejabatnya di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Mereka membantah pengambilalihan akhbar harian bahasa Cina
Nanyang Siang Pau
dan
China Press
oleh jutawan media dan balak, Tan Sri Tiong Hiew King bulan lalu. Tiong juga menguasai akhbar berbahasa Cina
Sin Chew Daily
dan
Guangming Daily
.
Terdapat enam akhbar berbahasa Cina di negara ini, dan hanya dua daripadanya Oriental Daily dan Kwong Wah Daily yang berpejabat di Pulau Pinang yang tidak dikuasai Tiong.
Mahasiswa berkenaan juga dijangka menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan Sin Chew selepas mengadakan bantahan tersebut, yang dikenali sebagai "Perhimpunan Aman Anti Monopoli Media".
"Pembaca akhbar berbahasa Cina memandang berat monopoli media itu. Oleh itu, kami menganjurkan bantahan tersebut sebagai mewakili suara masyarakat," kata penyelaras bantahan tersebut Er Hock Chiye.
Er merasakan ia menjadi tugas Sin Chew untuk memaklumkan kepada Tiong mengenai rasa tidak senang pembaca akhbar Cina mengenai monopoli tersebut.
"Setiap akhbar di bawah penguasaan Tiong kini menyiarkan pandangan yang sama yang dilihat menyokong kepentingan Tiong. Wartawan Sin Chew patut mengajar Tiong mengenai etika media," tambahnya.
Ancaman pihak pengurusan
Difahamkan pihak pengurusan Sin Chew tidak senang dengan bantahan yang akan diadakan itu di kawasan pejabat mereka.
"Mereka (pihak pengurusan) berkata jika bantahan itu berkaitan dengan monopoli media, maka ia perlu dibawa kepada Tiong, bukannya akhbar tersebut," kata satu sumber.
Pihak pengurusan kini mengancam untuk 'menghalau' mahasiswa yang akan mengadakan bantahan tersebut.
"Kami akan mengadakan bantahan itu di hadapan pejabat (akhbar berkenaan) kerana kami mahu memastikan bos Sin Chew tidak terlepas berita tersebut.
"Kita mahu mereka melaporkannya. Kita mahu mereka melaporkan suara mereka yang menentang monopoli tersebut," kata Teng Kok Ling, seorang siswazah lanjutan dari Universiti Sains Malaysia yang juga penyelaras bantahan itu.
Pengkritik Tiong pula menegaskan monopoli terbaru itu mengancam kebebasan akhbar dan kepentingan masyarakat Cina.
Tiong telah didesak supaya melepaskan sahamnya dalam Nanyang Press kepada pihak yang tidak berkepentingan. Selain itu, terdapat desakan supaya diperketatkan lagi klaus monopoli dalam Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sehingga ini, Tiong dan pihak kerajaan belum memberi sebarang respons terhadap desakan tersebut.
Penguasaan sepenuhnya
Bulan lalu, MCA mengumumkan keputusannya untuk menjual 21.02 peratus daripada 44.4 peratus pegangannya dalam Nanyang Press Holdings kepada Ezywood, sebuah syarikat yang dikuasai oleh Tiong.
Pembelian tersebut telah meningkatkan pegangan Tiong dalam Nanyang daripada 23.64 peratus kepada 44.76 peratus. Tiong kini memiliki 90 peratus pegangan saham dalam akhbar berbahasa Mandarin di negara ini.
Nanyang Press Holdings dibeli oleh syarikat pelaburan MCA, Huaren Holdings pada tahun 2001 walaupun mendapat bantahan besar-besaran daripada ahli parti tersebut, aktivis media dan pihak masyarakat.
Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai bantahan esok, hubungi talian 012-3808316 (Amy) atau 012-4612911 (Kok Liang).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.