Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengawal keselamatan hospital belum divaksin positif Covid-19, majikan nafi lepas tangan

Seorang pengawal keselamatan kontrak di Hospital Sungai Buloh yang belum divaksin telah dijangkiti wabak Covid-19, mencetuskan persoalan berhubung keselamatan dan kesihatan pekerja kontrak.

Wanita itu yang disahkan positif pada 11 Ogos, berkata kira-kira 20 rakan sekerjanya di hospital itu belum divaksin walau mereka ingin berbuat demikian.

Bagaimanapun, dakwaan itu membingungkan majikannya, E2S Security Sdn Bhd, yang berkata lebih 250 kakitangannya di hospital itu telah menerima vaksin sejak April lalu, dan hanya pekerja baru yang sedang menunggu giliran.

Pegawal keselamatan itu telah bekerja di hospital itu selama beberapa tahun. Dia tidak memberi maklum balas apabila ditanya berkenaan kenyataan E2S Security.

Dia yang enggan dinamakan memberitahu Malaysiakini yang dia mengalami gejala pada 9 Ogos dan mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan di situ.

"Doktor beri saya rawatan IV dan beritahu ia cuma demam biasa dan minta saya pulang ke rumah.

"Pada Rabu (11 Ogos), saya buat ujian swab di dewan serba guna di Kota Damansara dan dapat keputusan (positif) dua hari kemudian," katanya, sambil menambah dia yakin dijangkiti virus itu di tempat kerja.

Dia kemudian menjalani kuarantin di rumah dan mendapat bantuan vitamin dan ubat daripada kawan.

Bertentangan dengan dakwaan E2S Security Sdn Bhd, dia berkata ramai pekerja meminta pihak majikan mengaturkan vaksinasi mereka tetapi ia tidak dilayan.

"Kami minta majikan uruskan proses vaksinasi kami dan mereka buat-buat tak sedar.

"Mereka tidak peduli keadaan pekerja mereka," katanya lagi.

Syarikat: Hospital kendali vaksinasi kakitangan

Ketika dihubungi, jurucakap E2S Security Sdn Bhd menafikan dakwaan wanita itu bahawa ramai pengawal keselamatan di Hospital Sungai Buloh belum divaksin.

Katanya, lebih 250 pengawal telah menerima dos pertama pada April dan dos kedua pada Mei.

"Untuk pengawal keselamatan Hospital Sungai Buloh, kesemuanya telah divaksin kecuali segelintir yang belum, yang mungkin pekerja baru.

"Saya sendiri divaksin di hospital kerana saya memantau pengawal di situ," kata pengarah urusan E2S Security Sdn Bhd V Subramaniam.

Katanya, pengawal keselamatan baru telah menghantar nama untuk vaksinasi di hospital dan sedang menunggu giliran.

Dia juga berkata hospital telah meminta syarikat menghantar maklumat semua pekerja yang ditugaskan di hospital itu dan vaksin akan diberi menurut urutan nama.

Pekerja lain sama ada menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) atau Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang sebahagiann kos ditanggung majikan, katanya lagi.

Jika ada pekerja yang dijangkiti Covid-19, katanya lagi, mereka akan diberi cuti yang cukup untuk kembali sembuh, selain manfaat perubatan dan polisi insurans.

Dalam satu kenyataan, dia berkata ada beberapa pekerja yang pada mulanya enggan divaksin.

Bagaimanapun, katanya, kini nama mereka telah dimasukkan dalam senarai mereka yang bakal menerima vaksin.

Setakat laporan ini ditulis, pengawal itu - yang masih dalam proses pemulihan daripada wabak - tidak memberi maklum balas berhubung dakwaan syarikat yang seramai 250 pengawal keselamatan telah divaksin.

KKM: Semua kontraktor perlu pastikan pekerja divaksin

Malaysiakini difahamkan yang Hospital Sungai Buloh ada unit yang memantau vaksinasi semua pekerja, dan pekerja kontrak juga boleh mendapatkan khidmat mereka.

Namun, Malaysiakini tidak dapat menghubungi unit itu bagi meminta komen berkenaan dakwaan pengawal keselamatan itu, sementara pengurusan hospital memberitahu semua pertanyaan berkenaan dasar vaksinasi pekerja hospital perlu ditujukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Awal bulan ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata arahan sudah dikeluarkan kepada semua kontraktor untuk memastikan semua kakitangan sokongan di hospital menerima vaksin.

Katanya, ia selepas kematian seorang pekerja pembersihan kontrak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago kemudian menggesa KKM mewajibkan kontraktor untuk memastikan pekerja mereka menerima vaksin.

Lihat Komen
ADS