Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM buat risikan isu cubaan rasuah doktor untuk sijil vaksin
Diterbitkan:  Aug 31, 2021 4:03 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan siasatan dan risikan ke lokasi yang disyaki berlaku kegiatan merasuah doktor bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, meskipun belum menerima aduan rasmi mengenai perkara itu, pihaknya memandang serius akan dakwaan kegiatan yang katanya, boleh menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan.

“Perbuatan ini bukan saja melibatkan isu rasuah, tetapi ia menjejaskan reputasi profession pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu boleh menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia mendedahkan bahawa pihaknya menerima aduan daripada ahli bahawa mereka ditawarkan sehingga RM1,000 untuk memalsukan status vaksinasi Covid-19.

Kata gabungan itu, tawaran itu bukan hanya datang dari golongan antivaksin tetapi juga mereka yang mungkin belum diberi vaksin tetapi harus melakukan perjalanan segera.

Pensijilan vaksinasi Covid-19 menjadi lebih penting kini kerana kerajaan memberikan kemudahan tertentu buat individu yang telah divaksin sepenuhnya di bawah sekatan pergerakan, termasuk merentas daerah dan negeri untuk berjumpa pasangan dan anak, serta dibolehkan makan di restoran.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan rasa khuatir dengan kegiatan berkenaan, dan menggesa SPRM dan polis menyiasatnya sehingga mereka yang terlibat didakwa di bawah undang-undang antirasuah.

MMA turut mengingatkan semua doktor untuk mematuhi standard etika tertinggi dalam menjalankan tugas.

Lihat Komen
ADS