Majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengutip derma bagi membantu anak-anak yatim di daerah Baling yang dijadualkan diadakan esok, terpaksa dibatalkan selepas masjid pekan Baling menarik balik kebenaran untuk menggunakan dewannya bagi tujuan tersebut.

Berikutan itu, Timbalan Pengerusi penganjur 'Majlis Jasa Mu Dikenang" itu, Bashah Ibrahim berkata, pihaknya tidak mempunyai tempat lain untuk mengadakan majlis tersebut.

"Saya tidak tahu mengapa kebenaran itu ditarik balik. Sebelum ini kami dibenarkan menggunakan dewan untuk mengadakan majlis tersebut.

"Ketiadaan tempat yang sesuai menyebabkan kami terpaksa membatalkan majlis itu walaupun persiapan telah dibuat," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Bashah bagaimanapun menafikan majlis tersebut dibatalkan kerana tekanan politik dari pihak tertentu berikutan kritikan keras Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan.

Bantu anak yatim

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan majlis amal yang bertujuan untuk mengutip derma untuk kanak-kanak yatim di Baling.

Bashah berkata, 'Majlis Jasa Mu Dikenang' bertujuan untuk mengutip derma bagi kanak-kanak yatim daerah Baling dan dianjurkan oleh penduduk daerah tersebut

Menurutnya, majlis itu dirancang sejak beberapa bulan lalu sebelum berlakunya krisis antara Dr Mahathir dengan Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya telah mengundang Dr Mahathir sebagai tarikan untuk menarik lebih ramai penderma menyumbang bagi membantu kanak-kanak yatim tersebut.

"Kami (penduduk Baling) juga mahu menghargai sumbangan besar Tun Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri," katanya lagi.

Semalam, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau sedar dirinya semakin tidak popular dan sebab itulah beliau boleh diperlakukan apa sahaja.

Beliau dilaporkan berkata: "Hari ini sepatutnya saya menghadiri satu majlis anjuran Perkida (Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah SeMalaysia) di Johor, manakala pada 3 November ini menghadiri majlis anjuran pertubuhan bukan kerajaan di Baling.

Tetapi kedua-dua majlis itu telah dibatalkan dan itu menunjukkan saya semakin tidak popular."

Sementara itu, Imam masjid pekan Baling Mohamad Abdul Rahman gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasannya mengapa kebenaran untuk menggunakan dewan masjid tersebut ditarik balik.

Pejabat Agama Daerah Baling pula enggan mengulas kerana menurutnya ia urusan masjid berkenaan.