Dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bahawa ahli Umno 'kebal' terhadap undang-undang rasuah, mungkin satu bukti yang menunjukkan bahawa kempen memerangi rasuah yang dilancakkan oleh Perdana Menteri tidak kesampaian.

Oleh itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang bertanya sama ada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju dengan kenyataan Nazri itu, lebih-lebih lagi apabila politik wang dalam umno boleh dianggap menjadi punca kepada kegiatan rasuah yang berleluasa di Malaysia.

"Lebih penting lagi, Abdullah harus mengisytiharkan sama ada beliau telah memberi kuasa dan kebenaran kepada Nazri untuk mengisytiharkan bahawa ahli Umno 'kebal' terhadap Akta Mencegah Rasuah 1997 berhubung politik wang dan salahlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Walaupun Nazri menegaskan beliau menyuarakan pandangan peribadinya tetapi sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam halehwal perundangan, dakwaannya itu mempunyai implikasi yang mendalam terhadap kempen Abdullah memerangi rasuah," tambah Lim.

Semalam, Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak boleh menyiasat rasuah wang atau politik wang yang membabitkan ahli Umno.

Katanya, amalan yang dianggap rasuah oleh Umno tidak semestinya dianggap sebagai perbuatan rasuah mengikut definisi undang-undang sedia ada kerana sebagai satu pertubuhan, Umno berhak untuk mendisiplinkan ahlinya yang menyeleweng mengikut peraturannya sendiri tanpa membabitkan BPR.

Salahlaku dalam parti, kata Nazri, tidak memberikan sebarang kesan negatif kepada orang ramai kerana jawatan parti tidak membabitkan kepentingan awam dan sebarang tindakan pemegang jawatan itu tidak ada kena mengena dengan rakyat biasa.

Lebih-lebih lagi, tambahnya, sebarang kegiatan politik wang di kalangan sesama ahli Umno tidak membabitkan dana atau projek awam.

Perbezaan pendapat

Bagaimanapun, kata Lim, kenyataan Nazri itu bercanggah sama sekali dengan apa yang disuarakan sendiri oleh Abdullah dan menteri yang menjaga halehwal perundangan sebelum ini, Datuk Seri Rais Yatim.

Pada 2001, Abdullah, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, telah meminta BPR supaya membersihkan parti itu daripada ahli-ahlinya yang rasuah.

Begitu juga pada 2003 di mana Rais menggesa Umno supaya membenarkan BPR menyiasat pemimpinnya yang didakwa terbabit dengan politik wang kerana ia termasuk dalam definasi 'rasuah' di bawah Akta Mencegah Rasuah 1997.

Sehubungan itu, Lim turut meminta Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail menyatakan pandangan perundangannya berhubung kenyataan Nazri itu.

Projek PM

Menurut Lim lagi, semua ahli Parlimen mesti sepakat memerangi politik wang apabila sidang Parlimen disambung Isnin depan.

Katanya, mereka mesti mengecam teori baru Nazri itu yang membenarkan rasuah berleluasa dalam parti-parti politik, di luar kuasa Akta Mencegah Rasuah dan kuasa BPR.

Selepas mengambil alih pentadbiran negara pada 2003, Abdullah telah menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai asas penting kerajaan pimpinannya.

Beliau juga telah berjanji untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih serta menubuhkan Institut Integriti Malaysia bagi membanteras ancaman rasuah dalam masyarakat. Berita asal