Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM akan pergiat vaksinasi di lima negeri - KJ


Kementerian Kesihatan akan menggiatkan vaksinasi Covid-19 di lima negeri tidak lama lagi, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Negeri-negeri itu - Sabah, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan - akan melihat lebih banyak vaksin Covid-19 dihantar bermula dalam beberapa hari akan datang.

Khairy juga memberitahu wartawan bahawa pihak berkuasa kesihatan telah mula mengalihkan lebih banyak tenaga kerja dan peralatan perubatan ke lima negeri itu, langkah yang bertujuan untuk menurunkan jumlah kes dan kematian akibat Covid-19.

"Usaha ini untuk memastikan kes harian dan juga bilangan penduduk Malaysia yang terpaksa dimasukkan ke hospital atau alamai gejala serius dan kes kematian dapat kita kurangkan di negeri-negeri tersebut dan secara keseluruhannya untuk negara," katanya pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Ini adalah sidang media pertama Khairy sejak dia mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan pada hari Isnin.

Sebelum ini, Khairy memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kabinet Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin Yassin, dan pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Menurut Khairy, KKM memutuskan bahawa tindakan menggiatkan vaksinasi diperlukan di lima negeri itu kerana keperluan untuk mengekang peningkatan kes Covid-19 di sana dengan segera.

Menurut Khairy, idea untuk memusatkan perhatian pada negeri tertentu diambil dari pengalaman KKM dengan Pasukan Petugas Covid-19 Lembah Klang (GKVTF) yang ditubuhkan pada bulan Julai dan membuahkan hasil.

"Negeri-negeri tersebut bukan hanya akan menerima bekalan vaksin lebih, tapi juga telah mulakan proses pemindahan tenaga kerja dan aset-aset perubatan ke negeri-negeri tersebut daripada negeri-negeri yang tak memerlukan aset dan tenaga kerja," katanya.

Khairy mengatakan bahawa kementerian akan meningkatkan aktiviti pengujian di negeri-negeri yang memiliki kadar positif tinggi dan yang memiliki liputan vaksinasi yang rendah.

Dia juga mendorong majikan dan syarikat untuk tampil membantu pengujian, dengan meningkatkan ujian Covid-19 pada pekerja mereka ketika mereka membuka kembali perniagaan, terutama bagi golongan yang mengalami gejala.

Lihat Komen
ADS