Krisis kewangan 1997 telah menjejaskan syarikat bumiputera dan bukan bumiputera tetapi tidak dapat dipastikan samaada krisis itu

turut mengubah pegangan ekuti antara kaum di Bursa Malaysia, kata seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) yang turut mendakwa sasaran pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera di pasaran modal telah dicapai pada tahun berkenaan.

Semalam malaysiakini melaporkan satu hasil kajian yang dilakukan oleh Dr M Fazilah Abdul Samad telah mendapati pegangan ekuiti bumiputera telah mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1997, iaitu 33.7 peratus.

Hasil kajian tersebut yang diterbitkan pada tahun 2002 berdasarkan analisis 10 tahun pegangan ekuiti bumiputera dalam syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dipanggil Bursa Malaysia) dari tahun 1988 hingga 1997.

Bagaimanapun kajian Fazilah itu tidak mencakupi kedudukan ekuiti bumiputera selepas berlaku krisis ekonomi tersebut. Ini menimbulkan tanda tanya samaada krisis tersebut telah menjejaskan struktur ekuiti berkenaan.

Bagaimanapun Fazilah mendapati syarikat-syariklat milik bumiputera dan bukan bumiputera sama-sama terjejas teruk oleh krisis kewangan itu.

Tetapi tanpa kajian susulan, sukar untuk dinyatakan samaada krisis itu turut mengubah pegangan ekuiti korporat.

Ketika dihubungi malaysiakini, Fazilah bagaimanapun enggan mengulas lanjut hasil kajiannya itu dengan memberikan alasan sebagai seorang pensyarah, beliau terikat dengan "akujanji" universiti tersebut.

Difahamkan antara lain "akujanji" itu melarang kakitangan akademik bercakap kepada media tanpa kebenaran awal dari pentadbiran kampus.

Hasil kajian beliau telah diterbitkan oleh unit penyelidikan UM, Pusat Pembangunan Ekonomi dan Hubungan Etnik UM.

Fazilah yang mengetuai jabatan perbankan di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM telah menganalisis 29 syarikat bukan bumiputera dan bumiputera sebelum dan selepas krisis tersebut. Berita asal