Seorang lelaki warga emas rentung apabila kereta jenis Honda yang dipandunya terbakar dalam kemalangan di Jalan Taman Awam, Miri, lewat malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata laporan mengenai kejadian itu diterima kira-kira jam 10.50 malam.

Katanya sebuah jentera dengan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut jurucakap itu mayat Tan Kaw Tee, 61, ditemukan di dalam kereta selepas operasi memadam kebakaran berjaya dilakukan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut jurucakap terbabit laporan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku setelah kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbakar.

- Bernama